rap

Pesta filem Czech 4 hari

Oleh Michelle Gun

Kedutaan Republik Czech menawarkan tayangan percuma lima karya hebat negara itu sempena Pesta Filem Czech 2018 selama empat hari bermula 22 Mac ini.

Filem berkenaan adalah Adela Has Not Had Supper Yet, The Seven Ravens, Angel of the Lord 2, Barefoot dan Kooky.

Dutanya, Rudolf Hykl berkata, sambutan positif terhadap Pesta Filem Czech tahun lalu meyakinkan pihaknya untuk meneruskan acara berkenaan buat kali kedua.

“Kami terkejut apabila pihak Golden Screen Cinemas (GSC) memaklumkan jumlah keseluruhan kehadiran penonton sepanjang pesta berkenaan lebih 75 peratus,” katanya pada sidang media, baru-baru ini.

Hykl berkata, pesta kali ini bertemakan dongeng serta cereka sains yang sesuai ditonton seisi keluarga.

“Republik Czech terkenal dengan kisah dongeng dan kami mahu memperkenalkan karya yang boleh diterima baik penonton Malaysia.

“Kami berhasrat tidak saja memperkenalkan budaya negara kami, juga kehebatan penggiat seni dalam menghasilkan sinematografi indah,” katanya.

Saksikan filem Barefoot arahan Jan Sverak yang berlatarkan Perang Dunia Kedua. Mengetengahkan naratif ceria dan lucu, ia membawa penonton mengikuti perjalanan hidup kanak-kanak lelaki bernama Eda dan keluarganya yang terpaksa berpindah ke kawasan luar bandar.

Eda mula menyesuaikan diri dengan kehidupan desa dan mempunyai beberapa rakan.

Selain Barefoot, pesta berkenaan memaparkan filem komedi arahan Sverak berjudul Kooky. Ia mengisahkan ibu Ondra membuang patung beruang kesayangannya berikutan kanak-kanak itu menghidap asma.

Ondra kemudian bermimpi patung diberi nama Kooky itu berusaha mencari jalan pulang ke rumah dari tempat pembuangan sampah.

Karya Pesta Filem Czech 2018 boleh disaksikan di pawagam GSC Pavilion KL dan Mid Valley Megamall Kuala Lumpur. Tiket percuma Pesta Filem Czech 2018 boleh diperoleh di kaunter dua pawagam berkenaan mulai 15 Mac ini.

Maklumat lanjut, sila layari laman web www.mzv.cz/kualalumpur atau www.gsc.com.my.

Disiarkan pada: March 11, 2018 @ 10:29am
d