rap

Mohd Khairul juara VS 1001 Rasa Babas

Oleh Michelle Gun

CEF hotel di Pulau Langkawi, Mohd Khairul Fazly Ismail menjadi juara musim pertama pogram realiti memasak TV3, VS 1001 Rasa Babas.

Mohd Khairul, 31, membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM10,000 pada majlis yang berlangsung di Subang Jaya, hari ini.

Tempat kedua dimenangi Mohd Yusry Mohd Yusof yang menerima wang tunai RM3,000.

Manakala tempat ketiga disandang Intan Amira Abdul Aziz dan Anis Dzahira Junaidi dengan masing-masing memenangi wang tunai RM500.

Berkongsi pengalaman menyertai VS 1001 Rasa Babas, Mohd Khairul berkata, program itu memberi pengalaman dan pendedahan baru dalam bidang masakan.

"Sebenarnya bukan susah untuk menyediakan hidangan kerana sudah 11 tahun bekerja dalam bidang ini. Pun begitu, banyak yang saya dapat pelajari dan anggap peluang menyertai program itu sebagai rezeki," katanya yang juga juara minggu kelapan.

Mohd Khairul berkata, dia merancang untuk memberi sebahagian wang kemenangan kepada keluarganya dan membelanja rakannya.

Sementara itu, VS 1001 Rasa Babas akan kembali untuk musim kedua mulai 22 Mac ini, setiap Khamis, jam 6 petang.

Program 13 episod itu akan menampilkan 26 peserta dengan 14 cef berpengalaman sebagai mentor.

Selain itu, bersempena musim perayaan akan datang, VS 1001 Rasa Babas akan memperkenalkan edisi khas untuk sambutan Hari Gawai dan Keamatan (30 Mei), Aidilfitri (21 Jun) serta Hari Merdeka (31 Ogos).

Disiarkan pada: March 14, 2018 @ 6:50pm
d