rap

Malam hangat di Panggung Anniversari

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

Mungkin peminat generasi baru tertanya-tanya apa hebatnya muzik rock era 1980-an dan 1990-an berbanding muzik rock terkini yang melalui proses transformasi serta lebih canggih penggunaan teknologinya?

Tidak perlulah bersusah payah berfikir kerana jawapannya ada pada konsert Rock Attack! Revival Rock Malaysia yang berlangsung di Panggung Anniversari, Taman Botani Perdana, Kuala Lumpur, Sabtu lalu.

Walaupun banyak acara hiburan percuma di sekitar ibu kota dan perlawanan bola sepak pada malam sama, kehadiran hampir 1,500 peminat menyaksikan persembahan kumpulan rock seperti Junction, Rampage, SYJ dan kumpulan generasi baru Floor 88 sudah cukup membuktikan muzik rock tidak akan mati.

Konsert percuma di bawah program Kuala Lumpur Ceria anjuran Unit Muzik Jabatan Kebudayaan Kesenian, Pelancongan dan Sukan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dengan kerjasama Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) itu bertujuan mengaktifkan kembali Pang­gung Anniversari sebagai pentas hiburan popular sekitar 1970-an hingga 1990-an.

Seawal pembukaan lagi, suasana sudah hangat dengan penampilan penyanyi Oja menggelarkan dirinya Oja the Virtouso yang bergaya seperti pemain gitar handalan, Joe Satriani sambil memainkan lagu berjudul The Extremist.

Kemudian barulah Lando Zawawi mengambil posisi sebagai pengacara konsert. Tanpa menunggu lama, dia menjemput kumpulan anak muda Floor 88 menyampaikan lagu pilihan iaitu Zalikha, Aqilah dan Jampi.

Melihatkan kepada penampilan mereka, kumpulan yang dianggotai Nik Fadlee Elhamshah atau Ayie selaku vokalis, Zai Hamzah (Achoi, gitar utama), Muhammad Falikh Ghazali (Falique, bass), Muhamed Eric Muhamed Fuzi (Eric Puzi, keyboard), Muhammad Akram Kadir (Akram, dram) dan Amirul Affeq Mohd Fuaad (Amir, gitar kedua) ini mempunyai masa depan yang cerah dalam bidang muzik tanah air.

Ayie pandai mencuri tumpuan peminat dengan aksi usikannya dan tidak nampak malu-malu turun dari pentas untuk berinteraksi dengan penonton.

Menariknya, selepas itu diadakan pertandingan Pakaian Siapa Paling Rock dan 20 peminat bertuah menerima hadiah istimewa yang disediakan penganjur.

Giliran kumpulan Junction yang popular pada era 1980-an pula mengambil alih pentas selepas itu dan suasana tiba-tiba berubah apabila sekelompok peminat menghampiri pentas untuk ‘layan’ per­sembahan yang disajikan.

Tetamu kenamaan yang terdiri daripada Pengarah Jabatan Kebudayaan, Kesenian, Pelancongan dan Sukan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) Khairul Anuar Mhd Juri, Timbalan Pengarah Kanan Hasliza Abdul Hamid dan Pengarah Muzik Mohamad Adzan Mohd Fadzil pula ‘sporting’ membenarkan mereka berbuat demikian walaupun pada awalnya cuba disuraikan anggota Rela.

Ternyata usia bukan ukuran kerana vokal Hatta masih hebat apabila me­nyanyikan lagu Petualang, Lagenda Dongeng Purba, Akanku Kenang dan Baju Kebaya.

Satu fakta menarik, rata-rata peminat yang hadir terdiri daripada golongan usia pertengahan dan hanya sedikit peminat muda yang hadir.

Selesai persembahan Junction, giliran kumpulan Rampage yang diterajui bekas pemain dram Search, Yazit pula mengambil alih pentas dengan menyampaikan lagu Rempuh, Selimuti Hawa, Kejoraku Bersatu dan Fantasia Bulan Madu.

Yazit menerima tepukan gemuruh kerana biarpun berdepan masalah kesihatan, masih mampu memukul dram dengan bertenaga. Auranya sebagai pemain dram tersohor negara belum pudar.

Tidak ketinggalan, peminat turut dihiburkan dengan persembahan Ulat Bulu Man menerusi lagu Puisi Buat Perompak.

Saat yang ditunggu-tunggu peminat akhirnya tiba apabila giliran SYJ tampil sebagai artis terakhir pada malam itu.

Walaupun bukan dianggotai SYJ generasi kedua iaitu Zalalluddin Sulaiman (Alang, vokalis), Mohd Nazir Yusof (Jay, gitar), Azman Ahmad (Marnsuria, gitar) Izwan Affandy Ishak (Wan, bass) dan Doy (dram), mereka berjaya menghangatkan suasana dengan persembahan lincah dan bertenaga.

Gabungan lagu Hati Syaitan, Pewaris Generasi, Ini Nasib Kita, Cinta dan Orang Timur sudah cukup untuk mengubati kerinduan peminat terhadap SYJ yang asal.

SYJ yang tampil dalam album Battle of the Bands I dan II pada 1986 ketika itu diang­gotai oleh Amir (penyanyi), Zam (gitar), Man Rani (bass) dan Eduat (dram).

Sebelum tirai persembahan ditutup, semua barisan artis ditampilkan semula bagi menyanyikan lagu Isi & Kulit dan Pawana.

Ketika ini kelompok peminat tegar tadi sudah berani naik ke atas pentas untuk sama-sama menggoyang kepala, tetapi dibiarkan kerana mereka adalah pencinta muzik rock sejati dan tidak bertujuan mencetuskan kekecohan.

Disiarkan pada: March 15, 2018 @ 9:26am
d