rap

Alhamdulillah, jaga kesihatan Ajak...

Oleh Syafil Syazwan Jefri

ISTERI pelawak, Ajak Shiro, Nur Afifah Amin memaklumkan, suaminya kini menjalani pemeriksaan terakhir dan berkemungkinan akan dibenarkan pulang pada petang ini atau esok.

“Kami masih menantikan keputusan ujian darah yang dibuat semalam. Kalau semuanya tiada sebarang masalah, Insya-Allah, Ajak akan dibenarkan pulang sama ada hari ini, atau esok,” katanya kepada Harian Metro.

Afifah berkata, doktor juga menasihatkan supaya Ajak atau nama sebenarnya Mohamad Hanaffi Razak berehat buat beberapa hari sebelum kembali melakukan aktiviti seninya.

“Doktor memintanya supaya berehat selama beberapa hari dan dalam tempoh itu juga, pemakanannya harus dijaga dengan rapi. Selain itu, doktor juga menasihatkannya supaya menjaga jadual tidur,” katanya.

Menurutnya lagi, dia sendiri akan lebih bertegas dalam memastikan kesihatan suaminya tidak terabai.

“Sejak bekerja sebagai tentera laut pada lapan tahun lalu pun, dia memang kuat bekerja dan tidak pernah sekali pun dia mengambil cuti sakit.

“Sebagai isteri, menjadi tanggungjawab saya untuk menjaga kesihatan suami dan selepas ini, saya akan lebih bertegas dengannya.

“Sekarang, sejak menjadi artis, dia tak banyak bercuti kerana asyik dengan kerja. Bukan dia tak dibenarkan cuti atau apa tetapi dia sendiri yang tak mahu bercuti,” katanya.

Afifah juga berpesan kepada suaminya supaya sentiasa memikirkan keluarga dalam pada sibuk mengejar kerja yang tidak akan pernah habis.

“Saya beritahu dia, kalau nak melihat anak-anak membesar di depan mata, dia perlu menjaga kesihatan dan ubah cara kerja selepas ini. Pastikan ia lebih seimbang,” katanya.

Perkahwinan Ajak dan Afifah dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Mohd Jad Thaqif berusia 8 tahun, Mohd Had Thaqif, 5, dan Nada Soffea, 3 tahun.

Ajak beberapa hari lalu dikejarkan ke hospital selepas mengadu mengalami sakit di bahagian perut dan otot akibat terlalu kuat bekerja dan kurang rehat.

Sejak 12 Mac lalu, dia ditahan di hospital swasta yang terletak di Petaling Jaya bagi menjalani rawatan.

Disiarkan pada: March 15, 2018 @ 6:14pm
d