rap

Pelajaran bukan segalanya...

Syafil Syazwan Jefri

Ramai selebriti meletakkan pendidikan sebagai keutamaan. Walaupun sibuk dengan aktiviti seni, mereka pandai membahagikan masa antara kerjaya dan pelajaran.

Kelmarin, ramai berkongsi cerita manis mengenai keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Bagi yang tidak berjaya meraih keputusan cemerlang, itu bukanlah penamat hidup mereka. Pelajaran sememangnya penting tetapi ia bukan penentu kejayaan mutlak.

Hakikatnya, banyak lagi peluang untuk berjaya termasuklah menceburi dunia perniagaan atau menjadikan hobi sebagai sumber pendapatan.

Berikut adalah 10 selebriti terkemuka dunia yang tidak menamatkan persekolahan namun berjaya mencipta nama di peringkat antarabangsa.

Simon Cowell

Simon Cowell yang dikenali sebagai juri program realiti TV dan penerbit yang tegas meninggalkan zaman persekolahannya pada usia 16 tahun.

Cowell berkata dia akan menyokong sekiranya anaknya mahu berhenti sekolah pada usia sama.

Cowell menegaskan, dia tidak faham mengapa manusia perlu dipaksa melakukan sesuatu yang tidak disukainya.

Katy Perry

Penyanyi Katy Perry dalam satu temu bual mendedahkan berhenti sekolah pada usia 15 tahun. Dia pernah bersekolah di rumah dan beberapa kali dihantar ke sekolah mubaligh.

Katy berkata, dia tidak pasti apa yang dipelajarinya sepanjang tempoh itu. Namun, dia bersyukur kerana pentas seni banyak mengajarnya mengenai kehidupan.

Selepas bergelar selebriti, dia menyambung pelajaran dan kini memiliki segulung diploma.

Jennifer Lawrence

Bintang Hunger Games, Jennifer Lawrence mengakui berhenti sekolah semata-mata mahu mengejar cita-cita bergelar pelakon.

Dalam satu temu bual, Jennifer berkata, dia tidak pernah menyesal dengan tindakan itu kerana tahu hala tujunya dan apa yang perlu dilakukan untuk merealisasikan impiannya.

Seth Rogen

Pelawak ini bekerja keras selepas berhenti sekolah ketika remaja. Ketika rakan sebaya berhempas pulas mencari ilmu, dia sudah bekerja dalam beberapa program televisyen selain menjadi pelawak.

Berkat usaha dan kesungguhan, Rogen kini disanjung ramai dan mampu hidup mewah.

Lil Wayne

Lain pula ceritanya dengan penyanyi rap Lil Wayne yang berhenti sekolah atas permintaan ibunya. Menetap di kawasan jenayah tinggi, Wayne ketika remaja pernah membawa pistol di dalam beg sekolah untuk keselamatan.

Tindakannya itu diketahui ibunya dan kerana tidak mahu perkara buruk berlaku kepada Wayne, dia dihalang meneruskan persekolahan.

Ketika itu, namanya sudah mula menjadi sebutan dalam dunia nyanyian dan mempunyai album platinum.

Daniel Radcliffe

‘Pelajar’ Hogwarts dalam filem Harry Potter ini tidak menamatkan persekolahannya kerana diejek beberapa guru.

Menurut Radcliffe, sebelum membintangi legasi Harry Potter, sikap beberapa guru yang suka menghinanya membuatkan dia berasa sangat kecewa dan nekad berhenti sekolah.

Bagaimanapun, dia banyak mengutip ilmu baru sepanjang membintangi filem, malah lokasi penggambaran sudah dianggap sebagai sekolahnya.

Jim Carrey

Pada usia 16 tahun Jim Carrey meninggalkan alam persekolahan kerana perlu bekerja bagi membantu meringankan beban keluarganya.

Bintang Ace Ventura itu pelajar pintar di sekolah tetapi kerana masalah ekonomi dia terpaksa akur dengan keadaan.

Biarpun tidak belajar tinggi, Carrey berjaya mencipta nama di Hollywood, malah punya ramai pengikut di seluruh dunia.

Keanu Reeves

Zaman persekolahan aktor terkenal ini penuh dengan kesedihan apabila berdepan konflik dengan anak kakitangan tempatnya belajar.

Disebabkan suka bertanya pelbagai soalan, dia kurang disenangi pihak sekolah malah mereka bimbang sikap ingin tahunya yang tinggi akan membawa masalah pada kemudian hari.

Disebabkan itu, dia menerima surat daripada pihak sekolah yang memintanya supaya tidak kembali ke premis itu tahun berikutnya.

Daniel Radcliffe

‘Pelajar’ Hogwarts dalam filem Harry Potter ini tidak menamatkan persekolahannya kerana diejek beberapa guru.

Menurut Radcliffe, sebelum membintangi legasi Harry Potter, sikap beberapa guru yang suka menghinanya membuatkan dia berasa sangat kecewa dan nekad berhenti sekolah.

Bagaimanapun, dia banyak mengutip ilmu baru sepanjang membintangi filem, malah lokasi penggambaran sudah dianggap sebagai sekolahnya.

Jude Law

Ketika Jude Law menerima tawaran dalam siri Families pada usia 16 tahun, ibu bapanya bersetuju dia berhenti sekolah dan berhijrah ke tempat yang menjadi lokasi penggambaran drama terbabit.

Law tidak menyangka orang tuanya akan bertindak demikian. Namun, dia yakin keputusan ibu bapanya adalah yang terbaik buat mereka sekeluarga.

Jay-Z

Jay-Z atau nama sebenarnya Shawn Carter dikenali sebagai selebriti yang murah hati apabila mewujudkan biasiswa pelajaran untuk anak muda. Walaupun tidak tamat sekolah, dia tahu pelajaran sangat penting.

Menurut Jay-Z, proses pembelajaran tidak pernah berhenti. Selagi bernyawa, setiap hari dia belajar perkara baru.

Disiarkan pada: March 17, 2018 @ 10:26am
d