rap

12 otai berentap

Oleh Michelle Gun

Selepas bersiaran sembilan siri, Mentor kembali memperkenalkan konsep baru menampilkan peserta berusia antara 35 hingga 55 tahun.

Bagi persembahan pertama malam ini, program realiti nyanyian Mentor Otai akan memperkenalkan 12 peserta.

Program terbitan TV3 itu akan bersiaran secara langsung dari Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam, jam 9 malam.

Namun, hanya lapan peserta berbakat akan mara ke peringkat seterusnya.

Barisan tenaga pengajar terdiri daripada penyanyi berpengalaman iaitu Misha Omar, Siti Sarah, Tam Spider dan Zarul Husin.

Program mencungkil bakat penyanyi baru itu turut menampilkan penyanyi Mark Adam dan komposer Edry Abdul Halim sebagai juri tetap.

Pengurus Besar, Pengurusan Jenama, Integrasi Digital dan Perolehan, Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, Zurina Othman berkata, sesi uji bakat bulan lalu dihadiri lebih 1,000 peserta.

“Kami teruja memperkenalkan edisi baru Mentor kerana menampilkan kelainan dengan membuka ruang kepada peserta lebih berusia.

“Konsep ini berbeza dengan edisi sebelum ini yang mengetengahkan peserta muda,” katanya.

Zurina berkata, program realiti terbitan TV3 itu diharapkan dapat memberi peluang kepada protege untuk menonjolkan bakat dan menggapai impian mereka bergelar penyanyi.

“Hal ini bukan mustahil kerana barisan mentor terdiri daripada penyanyi berpengalaman dalam industri muzik tanah air,” katanya.

Juara Mentor Otai akan membawa pulang hadiah wang tunai RM100,000.

Manakala pemenang tempat kedua dan ketiga masing-masing akan menerima RM50,000 dan RM20,000.

Penyampai radio Hot FM, Haziq Hussni akan bergandingan dengan penyanyi dan pelakon Elly Mazlein sebagai pengacara.

Juri akan menilai persembahan peserta sebanyak 50 peratus dan 20 peratus lagi undian juri awam.

Manakala 30 peratus lagi undian dalam talian menerusi laman sesawang www.xtra.com.my yang akan dibuka mulai 25 Mac ini.

Protege yang mempunyai markah rendah di konsert mingguan akan disingkirkan.

Mentor Otai akan bersiaran selama tujuh episod di TV3 setiap Ahad, jam 9 malam.

Siaran ulangan Mentor Otai boleh disaksikan pada setiap Jumaat, jam 9.30 pagi mulai 23 Mac ini atau menerusi portal tonton.

Saksikan juga paparan menarik di belakang tabir persediaan protege bersama mentor mereka dalam Jurnal Mentor setiap Ahad, jam 6 petang.

Disiarkan pada: March 18, 2018 @ 4:49am
d