rap

Mahu tinggal nama baik

Oleh Norhayati Nordin

Pepatah ‘harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama’ dipegang pengacara, usahawan dan pakar motivasi Amin Idris, 37.

Tekadnya, suatu hari nanti dia akan memiliki empayar yang mengabadikan segala keringat untuk masyarakat ketika hayatnya.

“Bukan niat saya untuk memahat nama tetapi empayar ditubuhkan itu akan terus menabur bakti kepada masyakat dan tanah air.

“Ia impian saya terbesar saya dan tidak mudah untuk direalisasikan. Bagaimanapun, tak mustahil jika saya giat berusaha,” katanya.

Amin berkata apa yang ingin dilakukannya adalah perkara baik dan memerlukan perancangan rapi dari sekarang.

Beralih perihal karier, selepas enam tahun berkhidmat di stesen TV AlHijrah Amin beralih arah dengan mengembangkan potensi dirinya di Astro Oasis.

Dua tahun bersama saluran TV itu, Amin menyifatkan ia sebagai pengalaman berharga dan meniup semangatnya untuk lebih komited.

“Saya memulakan karier di Astro Oasis dengan mengacarakan program Salam Duha pada 2016.

“Banyak pengalaman baru ditimba termasuk berkongsi ilmu yang saya ada kepada penonton. Ia sangat menarik.

“Selain itu, saya juga dipilih menjadi juri untuk program realiti kanak-kanak Ceria i-Star di Astro Ceria dan melekat gelaran Bro Amin,” katanya.

Malah, Amin gembira apabila program kendaliannya, Tazkirah Malam Jumaat dicalon dalam kategori Program MeleTop di Anugerah MeleTop Era 2018 (AME 2018).

Berbicara lanjut mengenai program Tazkirah Malam Jumaat, Amin tidak menjangka dapat sambutan baik daripada penonton.

“Terima kasih dengan sambutan dan sokongan yang diberikan. Saya akan pastikan program ini bertambah baik dari semasa ke semasa.

“Kini, saya terikat dengan rakaman program realiti baru di Astro Oasis, Manhajj Mutawwif,” katanya.

Sebelum ini Amin pernah digelar ustaz oleh penonton yang mengikuti program kendaliannya.

Menurut Amin, apa sahaja panggilan mahu pun gelaran diberikan kepadanya, ia satu penghargaan.

“Saya lulusan Syariah dan Undang-Undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), jadi sempat juga belajar sedikit ilmu hadis.

“Mana yang saya tahu, saya akan kongsi dengan orang ramai. Mungkin kerana itu orang panggil saya ustaz. Sebenarnya, saya kurang selesa tetapi tak boleh elak sebab kerap mengacarakan program agama dan kerohanian,” katanya.

Disiarkan pada: March 18, 2018 @ 4:56am
d