rap

Rita tak bermusuh, tak campurtangan

Oleh Rudy Imran Shamsudin

PELAKON Rita Rudaini tampil menjelaskan salah faham timbul apabila kebanyakan orang beranggapan dia dan rakan pelakon, Izreen Azminda bermusuhan gara-gara memuat naik gambarnya bertemu dengan Intan Liana Saleh di laman sosial miliknya baru-baru ini.

Rita berkata, dia dan ahli keluarga Liana memang mengenali antara satu sama lain dan apabila berhubung untuk bertemu bertanyakan mengenai urusan mahkamah sudah tentu dia tidak menolak.

“Roza Saleh, kakak kepada Intan sebelum ini adalah pengurus artis sementara pelakon Nadia Mustafa adalah biras Liana. Seperti saya katakan sebelum ini saya mengenali mereka sejak awal pembabitan dalam bidang lakonan,” katanya dihubungi Harian Metro, hari ini.

“Izreen juga kawan dan apabila rakan-rakan datang meminta pandangan dan juga khidmat nasihat sudah tentu saya cuba membantu apa yang termampu.

Katanya lagi, apabila Nadia serta Roza menghubungi meminta bantuan, sudah tentu dia tidak akan berkata ‘tidak’.

Malah pelakon drama Sehangat Asmara itu menyatakan dia enggan menyebelahi mana-mana pihak dalam isu perceraian Intan dan suaminya Muhammad Radzi Abdul Wahid atau Ude juga suami kepada Izreen.

Rita juga tidak mahu campur tangan membabitkan apa juga masalah berlaku antara rakannya Izreen dan Intan kerana tidak ada kaitan dengan dirinya.

Dia kecewa apabila ada pihak menuding jari menuduhnya menjadi punca kepada isu perceraian Ude dan Intan serta dikatakan sengaja mahu menimbulkan konfrontasi

“Niat baik saya disalah erti. Saya tidak mahu mencari musuh apatah lagi memburukkan mana-mana pihak. Masalah dihadapi oleh Intan, Ude dan Izreen hanya mereka saja yang tahu,” katanya.

Kata Rita, dia tidak mungkin mahu memusuhi dan meminggirkan Izreen dan sekiranya dia datang meminta pandangan atau nasihat sebagai kawan sudah tentu dia bersedia bertemu.

“Cuma orang mungkin susah memahami kerana saya akan bersikap telus apabila memberi pandangan. Pendirian saya kalau perkara itu betul saya akui dan kalau salah saya cuba betulkan.

“Bagaimanapun bercakap mengenai perkongsian pandangan membabitkan masalah timbul ianya agak sukar andai kita tidak berada di tempat mereka, jadi terpulang kepada individu itu bagaimana hendak menerima apa juga pandangan yang saya kongsikan,” katanya.

Jelas Rita lagi, apabila namanya pula terkait dan situasi menjadi lebih buruk hingga mewujudkan rasa kurang senang dan permusuhan di mana-mana pihak, dia berasakan jalan terbaik adalah tidak lagi ‘ambil pusing’ dengan apa sedang berlaku.

Disiarkan pada: March 19, 2018 @ 9:28pm
d