rap

Impian Marsha terlaksana

Oleh Georgie Joseph

Sekian lama berharap, pelakon dan penyanyi Marsha Milan Londoh, 32, akhirnya bakal merealisasikan impian menjayakan showcase April nanti.

Menariknya, dia memilih untuk bergandingan dengan rakan baiknya, Velvet.

Bukan tidak yakin tampil solo, Marsha berasakan lebih meriah jika dia dapat berkongsi pentas dengan artis seperjuangan yang rapat dengannya.

“Memang saya sangat teruja memandangkan sudah lama teringin buat persembahan sendiri. Sebelum ini saya tiada keberanian untuk melakukannya disebabkan belum cukup pengalaman.

“Kali terakhir terbabit dengan showcase adalah beberapa tahun lalu. Itu pun saya cuma hadir sebagai artis jemputan.

“Kini saya sudah bersedia melakukannya dan memilih bergandingan dengan Velvet. Untuk tampil sendirian memang masih belum cukup keyakinan selain kami ada kejutan untuk diberikan kepada penonton nanti,” katanya.

Bakal diadakan di pusat beli-belah Oceanus Waterfont, Kota Kinabalu, Sabah pada 28 April nanti, Marsha juga ada alasan memilih kampung halamannya sebagai lokasi persembahan.

Marsha berkata dia mahu menyumbang kepada industri muzik dan komuniti di Sabah selain mahu mempromosikan negeri itu.

“Sebagai anak jati Sabah, saya mahu menyumbang sesuatu kepada industri seni tempatan di sana. Showcase ini juga hadiah buat peminat yang tidak jemu menyokong kerjaya saya selama ini.

“Disebabkan itu jugalah saya memilih untuk menjayakannya bersama rakan sekampung, Velvet. Saya berharap showcase nanti dapat melonjakkan karier nyanyian kami,” katanya.

Sibuk mempromosikan single terbaru berjudul Hilang, Marsha juga dalam proses menghasilkan single berunsur etnik di Sabah bersama Velvet.

“Lagu ciptaan Rich ini dalam bahasa Dusun. Saya dan Velvet juga ada menyumbang dalam penghasilan lirik,” katanya.

Berkongsi perkembangan terbaru, Marsha kini terikat dengan penggambaran drama siri Bimbi Bonni.

Akuinya, selepas bergelar isteri, dia perlu menapis tawaran berlakon.

“Saya kini sangat menitikberatkan jalan cerita. Saya hanya akan terima tawaran yang tidak melanggar etika sebagai isteri,” katanya.

Mengenai dunia nyanyian, Marsha mengakui dia perlu berusaha keras untuk menempatkan diri dalam kalangan penyanyi lain agar sentiasa relevan.

“Saya akui penyanyi baru terutama Budak Baru Nak Up (BBNU) cukup menyerlah. Jadi saya perlu mencari bunyi suara yang benar-benar boleh menambat hati ramai.

“Saya juga tidak kisah meminta lagu daripada komposer lain memandangkan ramai yang berbakat sekarang. Sebelum ini saya banyak menyanyikan lagu ciptaan sendiri,” katanya.

Sementara itu, tiket showcase Marsha & Velvet Drum Asia Live Kota Kinabalu berharga RM70 (VIP) dan RM30 (biasa) sudah mula dijual menerusi laman web marshavelvetliveinkk.eventbrite.com.

Disiarkan pada: March 21, 2018 @ 2:15am
d