rap

Diana mahu reda cepat

Oleh Syafil Syazwan Jefri

PELAKON, Datin Diana Danielle, 27, mengakui tenang menjalani kehidupannya bersama keluarga selepas kontroversi yang melanda suaminya, Datuk Farid Kamil baru-baru ini.

"Kehidupan perlu diteruskan dengan tenang. Farid seperti biasa dan kami pun kini lebih fokus kepada keluarga," katanya kepada Harian Metro.

Diana yang ditemui di majlis memperkenalkan program terbaru ntv7 berkata, dia sendiri inginkan semua yang berlaku berlalu dengan pantas.

"Sebagai manusia, ada persona dan kemanusiaan. Untuk persona, saya tampil tenang tetapi sebagai manusia, tentunya ada perasaan yang saya rasa.

"Tak perlu untuk saya beritahu secara spesifik apa perasaan yang saya rasakan saat ini kerana sebagai manusia biasa, saya juga ada perasaan sama seperti orang lain," katanya.

Tambahnya, dia lebih memilih untuk menyelesaikan masalah daripada memikirkan masalah yang melanda.

"Kalau saya beremosi dan terlalu berfikir mengenai masalah, ia tidak akan menyelesaikan apa-apa.

"Jadi, lebih baik saya fikirkan cara untuk menyelesaikan masalah, biarkan semuanya reda dengan cepat," katanya.

Suaminya, Farid sebelum ini didakwa di Mahkamah Majistret Petaling Jaya berhubung laporan palsu dianiaya oleh tiga rakan artis yang meletakkan dadah dalam minumannya.

Disiarkan pada: March 21, 2018 @ 9:24pm
d