rap

Rungkai jenayah melalui silap mata

Oleh Michelle Gun

Dalam siri Numbers, seorang profesor kolej membantu polis menyelesaikan kes jenayah dengan hanya berpandukan nombor dan matematik.

Berbeza pula dalam Deception, unit siasatan polis FBI Amerika Syarikat bekerjasama dengan ahli silap mata terkenal Cameron Black lakonan Jack Cutmore-Scott untuk membantu siasatan.

Pengalaman Cutmore-Scott membintangi siri televisyen sebanyak lima episod itu membolehkan dia mempelajari silap mata.

Menurut jejaka berasal dari London itu, dia berpeluang menuntut ilmu dengan dua ahli silap mata hebat David Kwong dan Francis Menotti.

“Mereka mengajar saya dengan penuh teliti agar dapat memberi persembahan silap mata terbaik ketika berlakon.

“Saya memulakan latihan dengan belajar membuat silap mata menggunakan kad dan syiling,” katanya dalam temu bual bersama Harian Metro, baru-baru ini.

Berbekalkan ilmu yang diturunkan kepadanya, pelakon berusia 31 tahun terbabit seronok dapat menunjukkan bakat baru itu kepada keluarga dan rakannya.

“Biarpun sudah menguasai beberapa silap mata, saya masih kurang keyakinan untuk melakukannya di khalayak ramai.

“Jadi, saya berlatih apa yang dipelajari dengan ahli keluarga serta rakan supaya dapat memperbaiki lagi persembahan di hadapan kamera,” katanya.

Walaupun mengakui wataknya mencabar, Cutmore-Scott menggambarkan pengalaman berlakon dalam siri ciptaan Chris Fedak itu menyeronokkan.

“Cabarannya adalah saya perlu sentiasa membuat latihan dan cuba selesa apabila melakonkan babak silap mata,” katanya.

Sementara itu, Cutmore-Scott berpendapat bukan mustahil silap mata dapat membantu pihak berkuasa dalam siasatan kes jenayah rumit.

“Bagi segelintir orang, kaedah itu mungkin kedengaran melucukan.

“Namun, ada agensi penyiasat dan perisik pernah bekerjasama dengan ahli silap mata untuk kes lama yang sukar diselesaikan,” katanya.

Bercerita mengenai watak Black, pelakon itu berkata, ahli silap mata terbabit mempunyai sisi gelap di sebalik personalitinya yang ceria.

“Dia seorang yang rumit dan menyimpan rahsia mengenai kehidupannya.

“Bukan itu saja, Black turut berdepan sedikit kesukaran dengan FBI kerana dia berharap agensi itu dapat membantunya,” katanya.

Kerjaya Black musnah dalam sekelip mata selepas dia terpalit dalam satu skandal dan kembarnya dituduh membunuh.

Demi membersihkan nama kembarnya, ahli silap mata itu mengambil keputusan untuk bekerjasama dengan FBI.

Saksikan Black berserta pasukannya bergandingan dengan pegawai FBI, Kay Daniels, Mike Alvarez dan Janet Deakins membanteras jenayah.

Turut membintangi siri berkenaan adalah Ilfenesh Hadera, Amaury Nolasco, Laila Robins, Lenora Crichlow dan Justin Chon.

Deception boleh disaksikan di Warner TV, setiap Isnin, jam 9 malam.

Disiarkan pada: March 23, 2018 @ 12:44am
d