rap

Elemen lebih segar, wajah baru

Oleh Syafil Syazwan Jefri

Penjenamaan semula saluran ntv7 tentunya memberikan keceriaan dan membawa penonton rasai sendiri apa yang mereka sajikan sesuai dengan slogan Feel It diketengahkan.

Kini, ntv7 menyajikan pelbagai program baru bermula 5 Mac lalu merangkumi pelbagai konsep daripada bual bicara, hiburan hingga drama.

Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad Johan Ishak berkata, penjenamaan semula itu merangkumi beberapa aspek antaranya menyasarkan penonton moden.

“Saya cukup teruja dengan penjenamaan semula ntv7 kerana kita lebih fokus kepada penonton moden Malaysia dan menyasarkan demografi yang lebih menarik kepada pengiklan.

“Daripada program bual bicara, hiburan hinggalah ke drama dan telefilem, pengisian di ntv7 menyuntik elemen yang lebih segar dan ‘hip’,” katanya.

Selain itu, ntv7 turut menampilkan wajah baru personaliti yang terdiri daripada pelbagai latar belakang.

“Penampilan wajah baru daripada pelbagai bangsa dan kerjasama antara orang baru dengan lama menjadikan ntv7 unik berbanding saluran lain,” katanya.

Antara program yang menarik perhatian ialah Kata Serasi yang menggabungkan dua pengacara iaitu Naz Rahman dan pelakon, Datin Diana Danielle.

Diana ketika ditemui berkata, program itu menjadi medan untuk selebriti berkongsi kisah mengenai perhubungan dan gaya hidup.

“Sejak mula ditayangkan, banyak input baru yang kami terima menerusi perkongsian bersama tetamu jemputan yang terdiri daripada selebriti popular tanah air.

“Terima kasih juga saya ucapkan kepada Naz kerana dia sememangnya pengacara berpengalaman. Dia banyak membantu saya ketika mengacara,” katanya.

Selain itu, satu lagi program yang mencuri tumpuan ialah It’s Alif yang dikelolakan penyanyi, pelakon dan pengacara, Alif Satar.

Alif berkata, dia berterima kasih kepada ntv7 kerana memberi kepercayaan kepadanya mengendalikan program itu.

Selain dua program itu, saluran ini turut menampilkan program pagi, Feel Good Show bermula jam 8 pagi hingga 10 pagi.

Feel Good Show menampilkan barisan pengacara baru seperti Erwin Dawson, Megan Tan, Razif Hashim, Keanu Azman, Aaron Al-Fateh, Nana Al Haleq, Thevanesh, Miasara dan Sugeeta.

Bukan sekadar program bual bicara biasa, Feel Good Show mengupas pelbagai topik menarik antaranya apa yang tular di media sosial, gaya hidup, kesedaran sivik, hiburan, pengurusan kewangan, kesihatan, kecantikan, fesyen dan banyak lagi.

Program lain yang disajikan kepada penonton adalah Pop! TV, Pop! Express, Fit & Fab dan ‘game show’ Drop The Beat yang sebelum ini menggunakan judul Perang Bibir.

ntv7 juga memberikan kepuasan kepada peminat drama menerusi kehadiran beberapa drama hebat dari dalam dan luar negara antaranya Inai Yang Hilang, Dapur Kongsi, Nafas dan drama Turki berjudul New Bride serta beberapa telefilem.

Disiarkan pada: March 23, 2018 @ 12:49am
d