rap

Azian sibuk 'mengira'

Oleh Norhayati Nordin

Lebih 20 tahun menyepi, pembabitan penyanyi Azian Mazwan Sapuan, 43, dalam pertandingan Gegar Vaganza 2 (GV2) pada 2015 diterima baik peminat.

Namun, selepas beberapa tahun berlalu nama Azian seakan-akan tenggelam semula dan apakah dia kembali menyepi?

Mengulas mengenai namanya yang dikatakan kembali suram, ibu kepada tujuh anak ini menafikan perkara itu.

Katanya, selepas menyertai GV2 hingga kini karier nyanyiannya masih aktif dan tawaran menyanyi diterima pada hujung minggu.

“Siapa kata saya sudah menyepi semula? Saya masih aktif menyanyi cuma kurang mendapat liputan media.

“Ini kerana sampai sekarang saya masih tiada single baru dihasilkan selepas pertandingan GV2 dulu. Namun, tawaran menyanyi tidak putus diterima.

“Apatah lagi, saya pun ada kerjaya tetap sebagai penolong akauntan. Jadi, semestinya kerjaya itu lebih diutamakan,” katanya.

Penyanyi popular era 1980-an yang cukup dikenali dengan lagu Rumah Kecil Tiang Seribu ini memberitahu minatnya pada nyanyian tidak pernah pudar.

“Menyanyi sudah sebati dalam diri saya dan syukur juga apabila suami merestui dan anak pun beri sokongan.

“Cuma, hingga kini saya masih mencari-cari genre sesuai untuk menghasilkan single baru. Saya tidak mahu terburu-buru.

“Ditambah pula, vokal saya sudah sinonim dengan lagu sedih dan mendayu. Jadi, penelitian dalam pemilihan lagu sangat perlu,” katanya.

Azian berkata dia juga tidak pernah terfikir untuk angkat kaki meninggalkan kariernya kini.

“Sebagai anak seni, saya sedar ada pasang dan surutnya. Memandangkan saya memiliki keluarga besar, daripada semua sudut perlu diambil kira.

“Anak saya pun enam orang masih lagi belajar. Jadi, perbelanjaan untuk mereka perlu disediakan.

“Dengan adanya kerja tetap, ia adalah jaminan untuk masa depan kami sekeluarga,” katanya.

Azian yang juga bekas finalis Bintang RTM 1986 berkata, dia juga kadang-kadang muncul dalam program di televisyen.

“Pihak stesen TV masih mengundang saya untuk program diterbitkan. Tetapi, bagi liputan di akhbar dan majalah, memang tidak ada.

“Bagaimanapun, saya tidak berkecil hati kerana belum ada produk lagu baru. Bagi saya, amat bersyukur tawaran menyanyi masih ada,” katanya.

Azian bertemu jodoh dengan suami tercinta, Mohammad Ahrar Zulkarnain, 46, pada 1995 dan pasangan ini sudah 24 tahun hidup bersama.

Hasil perkongsian hidup itu, mereka dikurniakan tujuh cahaya mata iaitu Mohammad Ashraf Zulkarnain, 23; Nur Athirah Hanim, 22; Mohammad Azrail Zulkarnain, 21; Mohammad Aqil Zulkarnain, 19; Mohammad Amil Zulkarnain, 17; Mohammad Adib Zulkarnain, 16, dan Anastasia Zayra, 12.

Disiarkan pada: March 24, 2018 @ 2:25am
d