rap

Belum terfikir cari pengganti

Oleh Sudirman Mohd Tahir

“SAYA sudah ‘move on’. Saya sangat gembira dengan kehidupan sekarang,” kata pelakon Elfira Loy ketika ditanya mengenai kehidupan dilalui selepas putus tunang dengan penyanyi, Sufian Suhaimi.

Elfira atau Nurul Elfira Loy Ahmad Sabri, 24, bekata dia juga tidak terfikir lagi untuk berkenalan dan mencari pengganti.

“Sekarang ini saya nak ‘enjoy’ dengan kehidupan, bersama orang ramai dan berada di tempat-tempat gembira seperti Gegaria Fest ini.

“Soal nak cari pengganti atau teman baru, tidak pernah terfikir lagi,” katanya kepada Harian Metro.

Elfra yang ditemui pada Gegaria Fest 2.0 yang berlangsung di Bulatan Amanjaya, Meru menegaskan enggan lagi bercakap mengenai kisah putus tunang.

Malah, Elfira lebih selesa untuk tidak mengulas mengenai isu mengatakan dia masih menghubungi bekas tunangnya itu.

“Siapa cakap saya masih menghubungi Sufian? Saya pun tak tahu individu yang bercakap perkara berkenaan betul atau tidak. Jadi tak perlu bercakap mengenai isu itu lagi.

“Kenyataan di IG Stories sebelum ini adalah kata-kata untuk diri sendiri. Apa saya lihat, lebih banyak saya bercakap sesuatu perkara walaupun ia benar, ia tetap salah di mata orang. Jadi tidak mengapa. Tidak rugi pun jika saya berdiam diri kerana saya benar.

“Kalau sesiapa nak terus bercakap, ia hak peribadi. Sama ada dia berasa baik untuk bercakap mengenai hal orang, terpulang. Bagi saya, tak baik kita bercakap hal orang,” katanya.

Elfira dan Sufian yang bertunang pada 6 Oktober lalu mengambil keputusan untuk memutuskan ikatan pertunangan pada 18 Februari lalu.

Rentetan kisah itu, pelbagai spekulasi timbul antaranya jumlah wang hantaran tinggi, isu Sufian tidak boleh menghafal Surah Al Mulk dan Sufian dikatakan menjalin hubungan dengan orang lain.

Disiarkan pada: March 24, 2018 @ 5:34pm
d