rap

Ruhainies tanpa kekasih

Oleh Najiy Jefri

Hampir empat tahun membabitkan diri dalam industri hiburan, pelakon Ruhainies sudah beberapa kali terpalit gosip percintaan mengaitkan dia dengan beberapa lelaki.

Bagaimanapun, cerita yang bertebaran itu tidak lebih daripada sekadar khabar angin semata-mata.

Kisah sebenarnya gadis berusia 26 tahun ini masih lagi solo tanpa kekasih hati.

Bukan terlalu memilih, cuma dia belum berjumpa lelaki yang betul-betul boleh memahami dirinya.

Bagaimanapun, pelakon drama Menantu Bilal ini mengakui dia pernah didekati lelaki sebelum ini.

Malangnya, detik perkenalan awal yang dilihat indah itu akhirnya kini tinggal kenangan.

Menurut Ruhainies, semuanya gara-gara kehadiran orang ketiga pada awal perkenalan terbabit.

Menganggapnya sebagai satu pengalaman hidup, Ruhainies tidak pernah kesal dengan apa yang terjadi.

“Sebelum ini memang saya ada berkawan dengan seorang lelaki yang juga ahli perniagaan.

“Dalam perhubungan, semua kesalahan yang dilakukan saya mungkin boleh maafkan tetapi apabila membabitkan orang ketiga, saya tidak boleh terima.

“Jadi, apabila saya dapat tahu dia ada berkawan dengan perempuan lain pada masa sama, maaflah. Saya adalah seorang yang kuat cemburu,” katanya.

Tidak meletak sepenuh kesalaham kepada lelaki itu, Ruhainies tidak menolak kemungkinan perkenalan singkat selama enam bulan yang tidak menjadi itu mempunyai kaitan dengan kesibukannya bekerja.

“Bekerja sebagai pelakon ini tidak tentu masa. Kadang-kadang dari pagi hingga malam berada di lokasi penggambaran.

“Mungkin saya tidak banyak masa untuk berpasangan hingga menyebabkan dia kurang mendapat perhatian.

“Apabila sudah tahu saya sibuk, dia pula sibuk dengan wanita lain, selamat tinggal sahaja,” katanya.

Ruhainies berkata, pengalaman dipermainkan lelaki yang tidak setia itu juga digambarkan dalam drama bersiri lakonannya, Tak Ada Cinta Sepertimu sedang ditayangkan di saluran Astro Ria.

Katanya, watak sebagai Bella itu sedikit sebanyak menggambarkan kisah hidupnya sebelum ini.

“Jalan cerita drama ini mempunyai persamaan dengan apa yang saya pernah lalui.

“Dalam cerita itu saya memegang watak Bella yang juga tunang kepada Hazran lakonan Syafiq Kyle.

“Malangnya, disebabkan terlalu sibuk, Hazran mula buat hal berkenalan dengan wanita lain kerana tidak dapat perhatian daripada Bella.

“Saya sendiri berasa lebih senang nak membawakan watak itu kerana pernah melaluinya,” katanya.

Disiarkan pada: March 25, 2018 @ 4:34am
d