rap

Masih hebat atas pentas

Oleh Rudy Imran Shamsudin

Biduanita yang mempunyai pengaruh besar di nusantara, Ruth Sahanaya masih lagi hebat di atas pentas.

Usia mencecah 51 tahun tidak menghalangnya memberikan persembahan terbaik buat peminat dalam persembahannya di Dewan Filharmonik Petronas (DFP), KLCC, di sini, baru-baru ini.

Kali terakhir Ruth atau nama timangannya Uthe menjayakan persembahan di negara ini ialah enam tahun lalu.

Bagaimanapun, persembahannya di DFP, baru-baru ini sangat istimewa memandangkan ini kali pertama penyanyi Indonesia diberi peluang menghiburkan peminatnya secara solo di dewan berprestij itu.

Ruth ketika ditemui selepas persembahannya berkata, dia sangat teruja apabila berpeluang untuk mengadakan persembahan di DFP dan diiringi Orkestra Filharmonik Malaysia (MPO) yang dipimpin konduktor Ahmad Muriz Che Rose.

“Dalam merancang persembahan di DFP, sudah tentu saya memilih senarai lagu yang sesuai dengan tempat. Apatah lagi selain pemuzik yang saya bawa dari Indonesia, saya juga bekerjasama dengan MPO.

“Dalam membentuk persembahan supaya dapat dinikmati peminat, saya menilai setiap lagu yang mahu didendangkan adakah dengan susunan semula ia mampu mempengaruhi emosi,” katanya.

Menilai keseluruhan susunan lagu yang didendangkan pada malam itu, ternyata Ruth dan pengurusannya bijak bermain dengan repertoir bagi membina ‘rasa’ buat peminat setia yang tahu hampir keseluruhan lagu didendangkan.

Memulakan persembahan dengan lagu Pesta dan Selamanya, Ruth membawa peminat mengimbau sejarah kemunculannya dalam industri muzik di tanah kelahirannya.

Selain itu bagaimana bakatnya mula diterima sebelum melebarkan langkah ke seluruh Asia Tenggara.

Namun, dalam kesempatan itu, penyanyi yang memulakan kerjaya nyanyian pada 1987 dengan album Seputih Kasih turut mempromosikan lagu dari album terbaru iaitu Rinduku.

“Kali terakhir saya adakan persembahan di sini pada 2011. Selepas itu ramai tidak tahu karya terbaru saya. Ini berlaku kerana industri muzik mula ‘runtuh’ dan memberi kesan kepada semua orang.

“Dalam tempoh itu, saya terus aktif dan menghasilkan album terbaru. Saya kini sudah memiliki 18 album. Lagu Hidden Love pula dihasilkan dengan kerjasama pengkarya di Jepun,” katanya.

Tidak seperti konsert biasa, konsert di DFP ada waktu ‘jeda’ atau ‘interval’ selama 20 minit. Ia juga cabaran baru buat Ruth.

“Ini pengalaman pertama saya apabila harus menghentikan persembahan buat seketika. Situasi itu sebenarnya boleh membantutkan ‘rasa’ yang saya cuba bina. Sudah tentu ia mempengaruhi corak persembahan.

“Pemilihan lagu memang dicorakkan supaya mampu membina ‘rasa’ persembahan yang saya katakan awal tadi.

“Apabila persembahan dihentikan seketika menyebabkan peminat membuat penilaian persembahan pada set kedua lebih sempurna berbanding set pertama. Padahal ia harus berlarutan,” katanya.

Ruth yang kebiasaannya menyanyi dua jam tanpa henti berkata, dia akur dengan syarat DFP itu.

“Sebagai tetamu sudah tentu kami menghormati syarat tuan rumah. Syukur melihat daripada reaksi peminat ia langsung tidak mengganggu,” katanya.

Pastinya pada malam penuh bersejarah itu, Ruth tidak meminggirkan senarai lagu popularnya seperti Astaga, Memori, Ingin Kumiliki, Keliru dan Kaulah Segalanya.

Ruth turut menyanyi secara medley empat lagu yang dipopularkan penyanyi lelaki Indonesia iaitu Takkan Terganti nyanyian Marcell, Harus Terpisah (Chakra Khan), Panas Asmara (Afgan) dan Kisah Romantis (Glenn).

Ditanya mengenai pemilihan empat lagu itu, Ruth berkata, mereka meneliti karya dendangan penyanyi lelaki Indonesia tetapi turut popular di Malaysia.

Selepas berbincang dengan pengurusannya, mereka berasakan ia adalah pilihan tepat dan diberikan susunan baru supaya sesuai dengan corak persembahannya.

Lebih manis, sebelum melabuhkan tirai persembahan, Ruth menutup konsertnya malam itu dengan lagu popular Datuk Sheila Majid iaitu Sinaran.

“Seperti diketahui umum saya dan Sheila adalah teman baik. Jadi saya berasakan ia akan menjadi menarik sekiranya saya menutup persembahan dengan lagu teman saya itu. Apatah lagi Sheila dan Sinaran sendiri sangat popular di sini dan Indonesia.

“Pada awalnya pening juga untuk saya memikirkan lagu mahu dinyanyikan sebagai ‘encore’. Saya cuba medleykan Sinaran dengan lagu nyanyian saya, bagaimanapun ia kurang menarik. Akhirnya saya memutuskan mengapa tidak saya menyanyikan Sinaran saja,” katanya.

Disiarkan pada: March 25, 2018 @ 4:40am
d