rap

Tidak tolak buat single

Oleh Amirul Haswendy Ashari

Peminat generasi baru mungkin tidak tahu, pelakon Kazar Saisi, 59, terlebih dahulu dikenali sebagai penyanyi pada era 1980-an.

Antara lagu paling diingati sehingga kini adalah Memburu Impian yang pernah menjadi runut bunyi untuk filem Gila Gila Remaja pada 1985.

Lagu itu dinyanyikan semula kumpulan Kristal dan dimuatkan dalam album mereka pada 2014.

Namun, namanya lebih dikenali sebagai pelakon berbanding penyanyi.

Bertemu dengan pelakon yang popular dengan drama bersiri seram komedi, Ceplos ini, Kazar mengakui jauh dalam sudut hatinya, cinta pada bidang nyanyian masih ada.

“Saya memang penyanyi dan tetap rasa diri sebagai penyanyi walaupun lebih banyak terbabit dalam lakonan.

“Kalau ada tawaran, buat sajalah selagi suara ini masih ada dipinjamkan Allah,” katanya.

Menurutnya, tiada usaha dilakukan untuk kembali dengan single atau album kerana berpendapat pasaran Malaysia terlalu kecil untuk penyanyi pada usianya berbuat begitu.

Namun, dia tidak nafikan memang ada perancangan muncul dengan single duet bersama Tajul Arif sebagai lagu runut filem Enjin No 9 yang bakal ditayangkan, Khamis ini.

“Ada juga perancangan itu (duet bersama Tajul) tetapi tengok pada gaya, filem itu pun bakal ditayangkan tak lama lagi.

“Lagi pun, jika jadi sekali pun, takut ada pula yang bertanya, masih boleh jualkah?” katanya.

Menurutnya, jika ada tawaran pada masa depan, dia tidak menolak sementara masih ada kudrat.

Ditanya sama ada mempunyai cara tertentu untuk melepaskan rindu terhadap nyanyian sama ada berkunjung ke pusat karaoke atau melalui aplikasi nyanyian seperti Smule, Kazar berkata, dia tidak melakukannya.

Baginya, dia hanya akan menyanyi jika ada tawaran persembahan pentas dan dibayar sahaja.

Bercakap mengenai filem Enjin No 9 arahan Raja Azmi, Kazar berkata, ini satu-satunya filem yang memberi lebih banyak babak untuknya.

Katanya, berbanding beberapa filem lain sebelum ini, dia hanya berpeluang muncul sebagai pelakon undangan sahaja.

“Saya hanya ikut kehendak skrip dan mengikut kehendak produser. Tak bolehlah nak ikut suka hati kita sahaja,” katanya.

Dia juga berkongsi pengalaman bekerja dengan barisan pelakon baru seperti Tajul dan Ayunie yang pertama kali berlakon.

“Macam drama Ceplos dulu, pelakon utamanya juga baru pertama kali berlakon. Kita sebagai orang lama kenalah sokong mereka sebab kita sendiri pernah melalui pengalaman sebagai orang baru,” katanya.

Kazar berkata, dia juga menyedari sejak kebelakangan ini, sering diberi watak komedi berbanding awal kemunculannya lebih menyerlah dengan watak serius dan jahat.

“Itulah, sudah lama tidak dapat watak serius. Apa-apa pun, semuanya terserah kepada produser dan penulis skrip. Pada usia begini, saya ikutkan sahaja,” katanya.

Selain filem ini, Kazar juga menantikan sebuah lagi filem bergenre hampir sama menggunakan loghat Negeri Sembilan berjudul This Is Pilah yang juga dijangka ditayangkan sebelum penghujung tahun ini.

Dia juga akan muncul dalam beberapa drama tempatan yang akan ditayangkan sempena Ramadan ini.

Disiarkan pada: March 25, 2018 @ 4:42am
d