rap

Format GGV dikekalkan

Oleh Najiy Jefri

Program Gema Gegar Vaganza (GGV) kini kembali untuk musim kedua dengan penyertaan enam peserta berkumpulan dan lima peserta solo.

Ketua Saluran Melayu Astro Raqim Ahmad berkata, program yang mengangkat lagu ketuhanan sebagai konsep pertandingan itu masih mengekalkan format yang sama seperti musim pertama dengan menampilkan 11 peserta.

“Kami di Astro berasa amat teruja membawakan GGV musim kedua kepada penonton.

“Oleh itu, kami masih mengekalkan format penganjuran GGV musim kedua seperti tahun sebelumnya. Cuma, pada musim ini kami tampilkan 11 peserta berbanding 10.

“Keputusan ini diambil selepas kehadiran ramai penyanyi berbakat hadir ke sesi uji bakat tertutup. Sayang rasanya apabila mereka yang benar-benar layak tidak diberikan peluang.

Enam kumpulan nasyid terpilih adalah Brothers, Devotees, InTeam, Mestica, Rabithah dan pasangan duo Heliza & Hazwani.

Barisan peserta solo pula terdiri daripada Adeep Nahar, Awi Rafael, Farah Asyikin, Fitri Haris dan Ippo Hafiz.

Menurut Raqim, selepas kejayaan mencatat lebih tiga juta penonton digital pada musim pertama, musim kedua GGV ini diharap dapat terus menjadi ruang buat anak seni yang ‘berhijrah’ memperjuangkan bakat mereka.

“Untuk musim kedua ini, kita banyak mengetengahkan nama artis arus perdana yang tidak membawa lagu bergenre nasyid.

“Ini kerana ramai dalam kalangan artis ketika ini ‘berhijrah’ dan kita mahu GGV menjadi platform buat mereka meneruskan perjuangan bakat seni mereka,” katanya.

Bertemakan Gema Irama Terindah, peserta diadili juri tetap Farihin Abdul Fattah, selebriti Indonesia Oki Setiana Dewi dan seorang juri jemputan setiap minggu.

Tidak ketinggalan, musim ini turut memperkenalkan pengacara baru Fakhrul UNIC bersama penyanyi Siti Nordiana dan Fikry Ibrahim selaku pengacara.

“Fakhrul bukan sahaja berbakat dalam bidang nyanyian, tetapi juga pengacaraan di mana dia juga adalah pengacara program terbitan Astro Oasis, Bismillah Ad-Duha,” katanya.

GGV akan bersiaran secara langsung selama tujuh minggu di Dewan Sri Putra, Bukit Jalil bermula 31 Mac ini.

Ia juga disiarkan menerusi saluran Astro Oasis (106) dan Maya HD (135) pada setiap hari Sabtu, 9 malam.

Juara Gema Gegar Vaganza bakal membawa pulang hadiah wang tunai RM100,000 beserta trofi.

Naib juara pula akan memenangi hadiah wang tunai RM30,000 dan tempat ketiga pula mendapat wang tunai bernilai RM20,000 beserta trofi.

Tempat keempat pula bakal meraih wang tunai RM15,000 manakala tempat kelima RM10,000 dan RM5,000 untuk pemenang tempat keenam berserta trofi.

Disiarkan pada: March 26, 2018 @ 2:44am
d