rap

Penampilan sulung memberangsangkan

Oleh Georgie Joseph

Baru minggu pertama, kumpulan Bocey sudah berjaya menggamatkan pentas program Bocey & Friends yang ditayangkan secara langsung di Studio Sound Stage Finas, Hulu Klang, Jumaat lalu.

Menampilkan tiga anggotanya iaitu Fad, Achey dan Abam sebagai teraju utama, topik minggu terbabit iaitu kenduri kahwin begitu mengusik hati.

Penonton tidak berhenti ketawa dengan gelagat dan lawak spontan mereka.

Persembahan yang dibahagikan kepada beberapa segmen itu berjaya dilaksanakan dengan baik oleh Bocey.

Mendapat iringan pemuzik hebat di bawah pimpinan Datuk Ramli MS, elemen muzikal juga jelas tarikan utama.

Fad ketika menceritakan mengenai persembahan itu berkata, mereka sebenarnya berdepan cabaran daripada pengisian topik mengenai kahwin.

“Persembahan itu lebih kepada mengupas mengenai topik yang dekat dengan masyarakat. Keduanya, kami kena mendalami sendiri situasi itu.

“Yang susahnya apabila situasi ini sudah banyak dipersembahkan orang lain. Bocey kena tampil dengan kelainan berbanding skesta yang pernah dilakukan kumpulan lain.

“Dengan kehadiran ramai pelakon jemputan, kami menggunakan gandingan itu sebagai kelebihan. Bukan saja mereka sendiri memberikan aksi terbaik tetapi keserasian kuat yang terjadi antara kami sangat membantu,” katanya.

Menurut Abam, walaupun persembahan berjalan lancar seperti dirancang, rasa gementar itu tetap ada.

“Kalau ikutkan, memang sangat gementar kerana ini kali pertama Bocey dibawa masuk secara langsung. Kami mempertaruhkan nama kumpulan dan jika persembahan menjunam maka menjunamlah juga nama Bocey.

“Kami kena bawa nama ini selama lapan episod dan semestinya akan terus menaik taraf pengisian persembahan setiap minggu,” katanya.

Pada malam itu, program berkenaan turut menampilkan artis jemputan seperti Ajak Shiro, Tauke Jambu dan Nabila Razali yang berjaya melengkapkan persembahan Bocey.

Menurut Achey, mereka sangat berbesar hati apabila artis jemputan membantu kemeriahan di pentas.

“Sebenarnya peranan artis jemputan juga sangat penting apabila kami pun tidak boleh menenggelamkan bahagian mereka. Disebabkan itu, kami mahu memastikan supaya tidak lebih-lebih dan menyerlah berbanding mereka.

“Bagi kami, saling melengkapi itu adalah sangat penting. Begitu juga dengan pasukan produksi memang benar-benar banyak membantu.

“Sewaktu mengadakan raptai, memang akan keluar ‘punchline’ yang spontan dan menarik. Produksilah yang akan memastikan untuk mencatat semuanya supaya boleh menjadi rujukan buat kami pada persembahan sebenar,” katanya.

Lebih istimewa, kemunculan pelakon Nasir Bilal Khan yang bertindak sebagai tukang buka panggung juga wajar dipuji.

Hakikatnya, peranan Nasir amat penting untuk memastikan mesej penting sampai kepada penonton.

Sebagai kejutan, penyanyi Datuk Zainal Abidin turut membuat kemunculan singkat pada segmen penutup minggu pertama itu.

Setiap minggu, seorang artis jemputan yang tidak diketahui Bocey akan diundang untuk memberi kejutan.

Sementara itu, Pengurus Saluran Astro Warna Norzeha Mohd Salleh berkata, peranan tukang buka panggung sebenarnya adalah elemen penting.

“Watak itu antara nadi terkuat untuk Bocey & Friends. Tatkala penonton sudah terhibur dengan persembahan serta aksi lawak daripada Bocey, mereka perlu kembali diingatkan mengenai topik dibincangkan.

“Jadi, di situlah peranan Nasir untuk membuat rumusan dan berkongsi mesej yang boleh dijadikan teladan. Program itu bukan saja sekadar mencuit hati tetapi turut memberi nasihat dan pengajaran,” katanya.

Disiarkan pada: March 26, 2018 @ 2:55am
d