rap

Kerjasama spontan 3 penggiat seni

Oleh Norhayati Nordin

Nama penyanyi Afgan Syahreza dan Isyana Sarasvati pastinya sinonim dengan peminat muzik di negara ini. Bagaimanapun, Rendy Pandugo masih agak baru.

Namun ia bukan halangan buat tiga anak muda yang juga penggiat seni berkaliber di Indonesia ini bekerjasama dengan single baru.

Trio ini bergabung menerusi single dalam bahasa Inggeris berjudul Heaven.

Dalam temu bual bersama RAP baru-baru ini, dapat dilihat hubungan persahabatan mereka sangat baik, akrab dan bagaikan bersaudara.

Afgan, 29, berkata, sebenarnya projek awal untuk penciptaan lagu itu hanya membabitkan kerjasama dia dan Rendy.

Menurutnya, mereka bertemu ketika menyertai bengkel penulisan lagu di Jakarta.

“Bagaimanapun, selepas beberapa lama kami menghasilkan melodi dan lirik lagu itu, masih dirasakan seperti ada lagi yang kurang dan perlu diisi.

“Selepas berbincang kami sepakat ambil inisiatif untuk mengajak Isyana bergabung menyiapkan lagu ini.

“Boleh dikatakan kerjasama kami bertiga untuk penciptaan single Heaven ini terjadi secara kebetulan. Pembabitan Isyana memang tiada dalam perancangan awal,” katanya.

Menurut Afgan, dia sangat seronok dan teruja dengan kerjasama spontan itu kerana masing-masing bersatu kongsi ilham.

Afgan berkata, hubungan awal dia dengan Rendy sekadar kenalan sebagai rakan seperjuangan dalam karier muzik diceburi.

“Saya hanya kenal biasa dengan Rendy dan kami mulanya tidak rapat. Selepas terbabit dalam projek pertama ini dan berjaya pula menghasikan Heaven, kami kini berkawan baik.

“Ditambah lagi, Isyana dan Rendy pula sudah kenal dan berkawan lama. Jadi, kami bertiga dapat bekerjasama dengan mudah tanpa perasaan janggal,” katanya.

Afgan berkata, dia berharap single Heaven itu mendapat sambutan baik dan diterima peminat di Malaysia, Indonesia dan Singapura.

Bagi Isyana, 25, pula, dia ambil peluang kerjasama itu kerana sudah yakin dengan bakat seni dimiliki Afgan dan Rendy.

“Mereka berdua sahabat baik saya. Kami sudah saling kenal lama. Jadi, bagi saya seronok juga kali pertama dapat bergabung cipta lagu bersama.

“Sebaik diajak bekerjasama oleh Afgan dan Rendy, saya tak fikir lama. Terus saja terima kerana sudah lama menyimpan hasrat.

“Saya pernah terfikir pasti seronok juga kalau kami bertiga ada peluang cipta lagu bersama. Ini kerana kami mempunyai minat yang sama,” kata.

Isyana berkata, dia bersama Afgan dan Rendy hanya ambil masa selama 30 minit untuk menyiapkan ciptaan melodi dan lirik untuk single Heaven itu.

Katanya, agak pantas juga ilham mereka bertiga muncul. Malah, apabila dinyanyikan secara trio, single Heaven menjadi lebih indah didengar.

Single Heaven adalah hasil kerjasama dua penyanyi dari Sony Music Indonesia iaitu Isyana dan Rendy manakala Afgan mewakili Trinity Optima Production.

Ia dilancarkan kepada pendengar muzik di Malaysia, Indonesia dan Singapura pada 14 Februari lalu. Apatah lagi, tarikh itu agak tepat kerana Heaven adalah lagu berkisarkan percintaan.

Rendy yakin ada peminat

Biarpun tahu Afgan dan Isyana sudah punya kelompok peminat tersendiri di Malaysia, Rendy berlapang dada.

Rendy, 33, yang muncul dengan album Inggeris, The Journey tahun lalu berkata, dia juga yakin ada peminat di Malaysia.

“Daripada persoalan peminat, saya fikir tiada beza pun dengan Afgan dan Isyana. Saya juga ada peminat di Malaysia.

“Cuma dengan kerjasama ini lebih memberi peluang kepada saya untuk dikenali di Malaysia. Mungkin juga dapat menambah jumlah peminat saya.

“Bagaimanapun, saya selesa berpandangan positif. Apatah lagi, Heaven sarat dengan mesej puitis berkaitan kasih sayang. Saya yakin dengan lagu ini.

“Malah di Indonesia pun dalam tempoh lebih sebulan dilancarkan, single Heaven menerima sambutan baik. Di platform digital juga jadi perhatian pendengar,” katanya.

Rendy yang selesa menghasilkan lagu Inggeris berkata dia menyimpan harapan berkunjung ke Malaysia berkongsi cita rasa muziknya.

Namun, katanya, itu semua bergantung pada rezeki. Harapan Rendy semoga single Heaven akan membantu mengembangkan lagi karier nyanyiannya menembusi pasaran Asia.

Disiarkan pada: March 28, 2018 @ 3:37am
d