rap

Temui lebih ramai selebriti

Oleh Syafil Syazwan Jefri

Gegaria Fest kembali lagi Sabtu ini di lokasi kelima, Pusat Pameran & Konvensyen MATRADE, Kuala Lumpur dan tentunya akan menyajikan pelbagai aktiviti menarik buat pengunjung.

Bagi mereka yang inginkan aktiviti kecergasan, seawal jam 8.30 pagi akan berlangsung Fitness Dance bersama dua jurulatih zumba, Hanif Shawn dan Izzat Zin.

Di semua lokasi sebelum ini, zumba menjadi aktiviti wajib dan jumlah penyertaan juga tidak pernah mengecewakan.

Mesra pengunjung, aktiviti ini tidak terlalu ekstrem sebaliknya setiap gerakan disusun bagi disesuaikan dengan semua peringkat umur yang menyertainya.

Tidak sekadar melakukan aktiviti sihat, pengunjung yang mendaftar untuk menyertai Fitness Dance juga akan membawa pulang cenderahati barangan eksklusif Gegaria.

Di lokasi kelima ini juga, pengunjung berpeluang bertemu lebih ramai selebriti dan ‘influencer’ media sosial yang akan berkongsi pelbagai input mengenai kecantikan, kerjaya, fesyen, kesihatan serta seni di gerai Lifestyle.

Antara selebriti dan ‘influencer’ itu ialah Nana Al-Haleq, Dr Say, Chazynash, Elfira Loy, Syed Syafiq, Faiz Roslan, Bunkface dan Reen Rahim.

Apa yang pasti, jadual pengunjung akan padat dengan pelbagai aktiviti menarik yang akan diadakan dari jam 8 pagi sehingga 11 malam.

Tidak cukup dengan itu, pengunjung juga akan disajikan dengan persembahan konsert Gegaria yang akan berlangsung pada sebelah malam. Artis yang akan menggegarkan pentas itu terdiri daripada Iamneeta, Noh Salleh, Akim & The Majistret, Kugiran Masdo, Bunkface dan Bittersweet.

Jangan lepaskan peluang untuk menjadi sebahagian daripada festival istimewa yang mula menjadi bualan ramai ini dan menikmati pelbagai acara menarik.

Disiarkan pada: March 29, 2018 @ 3:03am
d