rap

Tinggal setempat demi Menantu Nista

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

Idea untuk menghasilkan skrip dan karya yang baik boleh dijelmakan dalam pelbagai bentuk dan cara.

Ia dipraktikkan pengarah Shuhaimi Lua Abdullah dalam telefilem terbaru arahannya berjudul Menantu Nista.

Idea asal telefilem ini datang daripada Che Soo, tetapi skripnya ditulis Adza Amie menggunakan tajuk Terbalik.

Bagaimanapun, selepas perbincangan, ia kemudian ditukar pula kepada Menantu Nista.

Telefilem genre berat ini menampilkan barisan pelakon mantap seperti Normah Damanhuri, Sherie Merlis, Emma Maembong, Mahmud Ali Basha, Sazuwan DFKL dan Raja Azmi.

Untuk mencorakkan jalan ceritanya supaya lebih baik dan menarik, Shuhaimi bersama barisan pelakon dan kru berkampung di sebuah inap desa iaitu IJO Kuala Pilah, Negeri Sembilan selama lapan hari.

“Kami duduk bersama dan berbincang apa saja yang akan dilakukan. Semua pelakon duduk berkampung di sana seperti satu keluarga. Kami sampai awal dan pada sebelah malam kami duduk berbincang berkenaan watak masing-masing.

“Itulah kebaikan kalau kita dapat kumpulkan artis setempat. Banyak masalah yang boleh selesai terutama membabitkan ‘call time’ untuk penggambaran,” katanya.

Menurutnya, mungkin dengan cara ini penggambaran boleh dimulakan awal. Namun, ia tidak disukai kebanyakan syarikat produksi kerana membabitkan kos yang tinggi terutama telefilem.

“Sebenarnya ini cara terbaik untuk penggambaran sesebuah telefilem. Saya melihat dari sudut positif kerana kita dapat berbincang dengan artis setiap hari apa yang nak kita lakukan pada keesokan harinya.

“Saya rela mengeluarkan kos lebih semata-mata untuk mendapatkan mutu lakonan yang baik. Sebagai penerbit dan pengarah, saya lebih mementingkan kualiti daripada kuantiti. Apatah lagi usia pengarahan saya kini sudah menjangkau tujuh tahun dalam industri seni,” katanya.

Shuhaimi menyifatkan dirinya bertuah kerana mendapat barisan pelakon terbaik seperti Sherie yang sudah lama tidak muncul di TV.

“Watak yang dibawa sepatutnya milik Amyza Adnan tapi disebabkan jadualnya yang padat, ia akhirnya bertukar tangan kepada Sherie.

“Saya amat berpuas hati dengan lakonan dan komitmen yang ditunjukkan Sherie. Rentak dan gaya lakonannya belum hilang dan dia mampu berdiri sebagai pelakon wanita terbaik negara,” katanya.

Shuhaimi turut memuji Normah kerana sentiasa memberikan lakonan yang tidak mengecewakan.

“Dia bukan asing lagi dengan saya dan ini kali ketiga bekerja dengan saya selepas telefilem Hilangnya Kasih serta Adik.

“Ternyata permainan lakonan Normah agak berbeza membawa watak nenek yang uzur dan teraniaya oleh menantunya akibat dendam silam.

“Emma, Sazuwan dan Raja Azmi pertama kali berlakon di bawah arahan saya dan mereka juga tak kurang hebatnya,” katanya yang sudah mengarahkan banyak telefilem.

Telefilem arahan Shuhaimi, Pondok Itu Rumah Ku dan Rajuk pernah tercalon dalam kategori Drama Terbaik dan Komedi Terbaik ASK 2016.

Drama Namaku Bedah pula tercalon dalam Drama Festival Kuala Lumpur 2018 (DFKL 2018). Selain itu, Namaku Bedah dan Isteri Untuk Abang Long turut tercalon dalam Anugerah Telenovela 2018.

Telefilem ini mengisahkan Sofea yang sentiasa mempunyai masalah dengan ibunya, Nora.

Dia bercinta dengan Armin dan mahu bertunang dengan kekasihnya itu tapi dihalang ibunya. Agak pelik apabila ibunya hanya membenarkan mereka berkawan tanpa berkahwin.

Bapa Sofea, Fauzi seorang pemandu van dan jarang berada di rumah. Nora sangat garang dan tidak memberikan kasih sayang buat anaknya.

Ibu Fauzi iaitu Nek Yam tiba-tiba jatuh sakit membuatkan Fauzi mahu mengambilnya tinggal bersama mereka.

Hasrat ini ditentang keras Nora yang sememangnya tidak sebulu dengan ibu mentuanya. Daripada situ terbongkar kisah lampau yang menjadi punca Nora amat membenci Nek Yam.

Disiarkan pada: March 29, 2018 @ 3:07am
d