rap

'Ada penumpang bayar lebih'

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

Peminat muzik era 1990-an pasti terpesona dengan alunan merdu suara Isa Hamsah menerusi lagu balada Sinambungan Cinta dan Kau Salju Cintaku yang dimuatkan dalam album pertama kumpulan Gravity berjudul Inspirasi.

Kumpulan itu pada mulanya dikenali sebagai Figures dan popular dengan lagu Akhirnya Aku Kau Lukakan menerusi album Kalau Terpaksa yang diterbitkan pada 1991.

Selepas perbincangan dibuat, anggotanya Isa (penyanyi), Daud Yusof (gitar utama), Muhammad Hassan (bass) dan Ahmad Abdullah (dram) bersetuju menukar nama kepada Gravity memandangkan nama Figures susah untuk disebut peminat.

Gravity menghasilkan album kedua berjudul Anak Langit yang memuatkan lagu Kasih Di Rundung Mega pada 1994. Mereka tampil dengan album ketiga berjudul Rambak pada 1997 dan popular dengan lagu Kau Satu Dalam Sejuta.

Dek kegawatan ekonomi, mereka akhirnya membawa haluan masing-masing dan Isa bekerja sebagai pemandu teksi sejak 2002 hingga sekarang.

“Sudah 15 tahun saya bawa teksi sejak anak sulung, Mohd Izzudin berusia dua tahun sehinggalah usianya 17 tahun sekarang.

“Ramai penumpang yang kenal dan terkejut apabila naik teksi saya, tapi apa yang nak dimalukan kerana mencari rezeki halal bagi menyara keluarga,” katanya yang turut mempunyai anak perempuan, Hidayah, 14.

Menariknya, ada juga peminat yang teruja dan meminta Isa menyanyi dan permintaan itu tidak dihampakan.

“Saya sebenarnya bergurau minta bayaran kalau nakkan saya menyanyi, tapi rupanya ada penumpang yang anggap serius dan membayar lebih walaupun nyanyian saya lebih kepada suka-suka. Itulah yang dinamakan rezeki.

“Syukur kerana mulanya saya bawa teksi untuk sebuah syarikat. Sekarang saya sudah ada permit sendiri,” katanya.

Bercerita mengenai seni, Isa memberitahu masih aktif menyanyi dan sudah mempunyai anggota Gravity yang baru sejak 2015.

“Selain saya, kumpulan ini turut dianggotai oleh Boy (gitar utama), Bain (gitar kedua), Joe (bass) dan Black (dram). Banyak juga persembahan yang kami jayakan mengikut permintaan penganjur.

“Anggota asal Gravity iaitu Ahmad Abdullah (dram) sudah meninggal dunia pada 2006, manakala Daud (gitar utama) menjadi imam di Johor. Seorang lagi, Mohd Hassan (bass) tinggal di Segamat, Johor,” katanya.

Menurutnya, Gravity mempunyai lagu baru ciptaannya sendiri dan menunggu masa yang sesuai untuk rakaman.

Dalam pada itu, Isa bersama 14 artis lain antaranya Khaty Azian, Hatta Junction, Nik Putra, Dwan Olan, Blank Gamma, Shafie Rio, Raymie Febian’s dan Zack Massa akan menjayakan program Santai Retro 2018 yang akan berlangsung di Tanjung Bidara, Masjid Tanah Melaka pada 7 dan 8 April ini.

Disiarkan pada: March 31, 2018 @ 3:45am
d