rap

Wani Kayrie fokus kerjaya dulu [METROTV]

Oleh Sudirman Mohd Tahir

PENYANYI Wani Kayrie yang mendapat 7A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mengambil keputusan untuk menangguhkan dahulu pelajaran di peringkat universiti atas komitmen kerjaya.

Wani atau Syazwani Abdullah, 18, berkata, dia ingin menyelesaikan dahulu semua urusan kerja tahun ini sebelum memberi fokus kepada pengajian.

“Saya macam orang lain juga yang bercita-cinta menyambung pelajaran di peringkat tertinggi. Macam sekarang, saya dapat banyak tawaran daripada kolej swasta.

“Cuma, memandangkan saya terpilih ke peringkat akhir pertandingan World Championships of Performing Arts (WCOPA) pada 8 April ini, jadi saya perlu fokus ke arah itu. Saya jenis fokus satu perkara dalam satu masa.

“Dalam masa sama, saya juga bakal muncul dengan single terbaru tidak lama lagi. Sudah tentu ia memerlukan komitmen tinggi dari segi promosi lagu dan aktiviti lain. Disebabkan itu saya ambil keputusan tangguh dahulu keinginan untuk sambung pelajaran,” katanya kepada Harian Metro di Festival Gegaria 2018 di Kuala Lumpur, hari ini.

Menurut Wani, kedua ibu bapanya menyerahkan segala keputusan pada dirinya kerana yakin dia mampu buat yang terbaik.

“Ibu bapa saya sentiasa memberikan sokongan dalam apa jua perkara yang dibuat. Mereka meletakkan sepenuh kepercayaan kepada saya. Mana yang dirasakan terbaik buat masa sekarang, mereka ikut saja.

“Dalam masa sama, mereka tahu saya sibuk bukan saja dengan kerjaya tetapi juga membantu adik beradik lain dalam pelajaran. Sebab saya anak sulung, jadi mereka faham.

“Saya juga kena bawa diri sendiri. Jadi, kalau nak paksa diri untuk belajar dan fokus karier secara serentak, sejujurnya saya memang tidak boleh. Lebih baik saya fokus satu persatu,” katanya.

Berita berkaitan:

Terbaiklah Wani dapat 7A

Disiarkan pada: March 31, 2018 @ 4:30pm
d