rap

Menangis dalami watak gadis bisu, pekak

Oleh Najiy Jefri

PELAKON popular Ayda Jebat mengaku terharu dan terkejut apabila dihujani mesej daripada peminat yang menangis menyaksikan telefilem lakonannya berjudul Aku Nazmi di slot cerekarama di TV3, semalam.

Ayda ketika dihubungi berkata, dia bersyukur dan gembira apabila telefilem terbitan JS Pictures Sdn Bhd itu turut menjadi bahan ‘panas’ (trending) di Twitter.

“Alhamdulilah, saya bersyukur dengan sambutan yang diberikan peminat. Sejujurnya, saya tidak menyangka sambutannya begini hebat hingga menjadi ‘trending’ di Twitter.

“Malah, saya turut menerima mesej daripada peminat, rakan-rakan, pengarah dan kru produksi yang mengucapkan tahniah kerana berjaya membawakan watak yang susah ini.

“Jujur bukan saya menjadikan watak ini sempurna, tetapi kru produksi yang bekerja keras bagi memastikan ia berjaya,” katanya.

Menurut Ayda, berpeluang melakonkan watak gadis bisu dan pekak adalah pengalaman yang tidak mungkin dapat dilupakan.

“Watak (gadis bisu dan pekak) ini sangat susah sebab kena belajar bahasa isyarat. Selama 10 hari saya mengikuti kelas disediakan penerbit Sheila Rusly. Sepanjang tempoh itu, boleh dikatakan hampir setiap hari saya menangis.

“Apa yang membuatkan ia susah kerana pada masa sama perlu ada reaksi muka. Kalau setakat isyarat tangan ia boleh dihafal. Ini pertama kali saya melakonkan watak sebegini.

“Saya amat menghargai sokongan penonton. Ternyata penceritaan yang cuba disampaikan berjaya diterjemah dengan sempurna,” katanya.

Telefilem arahan Jinggo ini turut dibintangi Jay Iswazir, Dayana Roza dan Sheila Rusly.

Disiarkan pada: April 1, 2018 @ 6:20pm
d