rap

Minta Finas tarik tayangan Qhaliq

Oleh Amirul Haswendy Ashari

PENGEDAR filem Qhaliq, Ahmad Idham Nadzri melalui Aifa Motion Pictures Sdn Bhd akan menghantar surat penarikan filem itu dari pawagam kepada pihak Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas), pagi esok.

Filem Qhaliq dijadual ditayangkan pada 5 April ini (Khamis) iaitu tarikh dan hari yang sama dengan tayangan filem Dukun arahan Dain Said.

"Saya dan produser mahu memohon penarikan filem Qhaliq kerana mahu beri laluan kepada filem Dukun.

"Ia bukan soal tidak mahu atau mampu bersaing dengan filem itu tetapi ia dilihat tidak adil untuk dua filem tempatan bersaing dalam keadaan tiada lambakan filem tempatan pada masa ini," katanya.

Katanya, filem Dukun adalah filem besar di segi pembikinan serta promosi dan semestinya akan memberi kesan kepada tontonan kelak.

Tambahan pula, filem Qhaliq melalui proses Skim Wajib Tayang (SWT) berbanding Dukun terus kepada pihak pawagam.

Situasi pertembungan menampakkan ada pihak cuba melaga-lagakan dua filem tempatan itu.

Ahmad Idham mendakwa, SWT seharusnya sedar situasi ini adalah tidak sihat tatkala banyak filem tempatan terbitan produser kecil tempatan mengalami kerugian setiap kali filem mereka bersaing antara satu sama lain.

Katanya lagi, dia akur dengan situasi ini dan disebabkan enggan berkonfrontasi maka adalah lebih baik memilih untuk menarik Qhaliq keluar dan mencari tarikh tayangan lain yang lebih sesuai.

"Seandainya permohonan menarik diri itu tidak diluluskan Finas mahu atau tidak, pihak kami akur dengan keputusan itu dan terpaksalah berserah kepada penonton," katanya.

Filem Qhaliq mengisahkan kehidupan anggota bomba yang berdepan pilihan antara cinta dan kerjaya.

Disiarkan pada: April 3, 2018 @ 7:35pm
d