rap

Semoga ibu Safura kembali sihat

Oleh Norhayati Nordin

PENYANYI dan pelakon, Safura Yaacob mengharapkan ibunya, Nariah Materudi, 75, yang kini mendapatkan rawatan lanjut di unit khas Hospital Selayang sejak seminggu lalu kembali sihat.

Safura, 45, ketika ditemui berkata, ibunya yang menghidap penyakit diabetes turut disahkan doktor mengalami jangkitan di paru-paru dan masalah paru-paru berair.

"Masalah kesihatan ibu saya sebenarnya kritikal di Hospital Selayang. Namun, saya tetap berdoa kepada Allah SWT supaya kesihatan ibu dipulihkan.

"Ini kerana saya memang berhasrat mahu ibu hadir menyaksikan persembahan nyanyian istimewa saya sempena sambutan Hari Ibu pada 1 Mei ini di Kuala Lumpur.

"Ibu adalah penyokong setia yang tidak jemu memberi samangat dalam apa saja ujian yang saya alami selami ini. Ibu lambang kekuatan saya.

"Jadi, apabila kini ibu sakit saya sedih dan bimbang. Apapun, saya dan seisi keluarga hanya mampu banyakkan doa kepada Allah SWT supaya ibu segera sembuh dan sihat semula," katanya.

Safura yang juga ibu kepada enam orang anak berkata, kali terakhir ibunya dapat menyaksikan dia menyanyi dalam satu persembahan kira-kira 12 tahun lalu.

Penyanyi yang pernah popular dengan lagu Sedalam Mana Cintamu itu memberitahu dia sebenar tidak lagi memberitahu ibunya mengenai peluang membuat persembahan sempena Hari Ibu itu.

Ujarnya, disebabkan sudah lama tidak aktif menyanyi dia mahu membuat kejutan buat ibunya tetapi nampaknya tidak menjadi kerana ibu jatuh sakit terlebih dahulu.

Safura bertemu jodoh dengan pelakon Shahrolnizam Nor pada Januari 2005 dan mereka disatukan sebagai suami isteri serta dikurniakan empat cahaya mata, Nuraisyah Mariam (meninggal dunia ketika berusia tiga tahun), Yusoff Firdaus, 9, Zara Nuraisyah, 6, dan Ariana Sofea, 4.

Selain itu, Safura juga memiliki dua anak lagi hasil dua perkahwinan terdahulunya iaitu Nurul Natasha, 23, dan Mohd Daniel Khaqim, 18

Disiarkan pada: April 4, 2018 @ 10:15am
d