rap

Ogy kecewa isu Fazlina 'tampar' Aiman

Oleh Norhayati Nordin

SENIWATI berkaliber tanah air, Fauziah Datuk Ahmad Daud atau Ogy mengaku dia kecewa dan sedih dengan isu 'tampar' yang tular membabitkan adiknya, Fazlina dan penyanyi Aiman Tino, baru-baru ini.

Ogy ketika ditemui berkata, dia terkejut apabila menonton video 'tampar' itu di YouTube dan ia begitu hangat didebatkan oleh netizen.

“Selepas menonton, saya terus hubungi Baby (panggilan mesra Fazlina) dan bertanya sejak bila dia jadi guru seni lakon. Saya ingatkan padanya, jangan buat malu nama baik Allahyarham ibu bapa kami.

“Baby terus ceritakan perkara sebenar berlaku di set penggambaran drama Mak Cun musim keempat dibintanginya dan kejadian tidaklah seperti hangat didebatkan itu.

“Selain Baby, saya ada menghubungi pihak produksi untuk mendapatkan penjelasan sebenar dan mempersoalkan bagaimana cerita di belakang tabir lokasi penggambaran boleh diketahui umum,” katanya.

Menurut Ogy, dia turut bercadang untuk bersemuka dengan pihak didakwa menjadi dalang menggembar-gemburkan perkara itu hingga menjadi hangat.

“Namun, Baby halang saya berbuat demikian kerana dia boleh selesaikan perkara itu sendiri. Sebagai kakak, saya sangat mengenali peribadi sebenar adik saya.

“Jadi, apabila perkara ini timbul hingga menjadi satu isu hangat, saya sangat kecewa dan sedih. Ia tidak sepatutnya berlaku kepada Baby,” katanya.

Pelakon filem Azura dan Ali Setan itu berkata, dia sudah mendapat penjelasan kejadian sebenar daripada penerbit drama Mak Cun musim keempat, Erma Fatima yang menemuinya beberapa hari lalu.

“Baby memang tidak bersalah dan Erma sendiri ada di lokasi ketika kejadian didakwa itu berlaku. Malah, saya yakin dengan penjelasan daripada Erma.

“Apapun, pada saya jangan anggap pekerjaan sebagai pelakon itu senang. Terus-terang, sebenarnya tidak mudah untuk menzahirkan lakonan berjiwa dan ia boleh turut dirasai penonton,” katanya.

Ogy berkata, apapun dia menggalakkan pelakon baru termasuk yang senior hadir ke bengkel lakonan untuk menimba ilmu sebagai pelakon terutama dalam aspek menzahirkan emosi.

Terdahulu, pada 29 Mac lalu media melaporkan Fazlina didakwa 'menampar' Aiman gara-gara untuk menzahirkan watak sedih yang memerlukan penyanyi lagu Ku Rela Dibenci itu menangis.

Namun, ia disalah anggap oleh rata-rata peminat Aiman yang mendakwa Fazlina tidak sepatutnya 'menampar' penyanyi pujaan mereka dek kerana video yang tular itu.

Pun begitu, sama ada Fazlina mahu pun Aiman, kedua-dua mereka sudah tampil memberi penjelasan terhadap kejadian sebenar yang berlaku.

Disiarkan pada: April 4, 2018 @ 10:52am
d