rap

Lega... Dukun masuk, Qhaliq keluar

Oleh Amirul Haswendy Ashari

PENGARAH dan produser filem, Ahmad Idham Nadzri, 45, lega permohonan menarik keluar filem terbaru berjudul Qhaliq, diterima, hari ini.

Perkara disahkan oleh Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) dan Jawatankuasa Wajib Tayang selepas dia melalui syarikat Aifa Motion Pictures, selaku pengedar filem terbabit membuat permohonan itu, semalam.

“Saya sudah mendapat persetujuan daripada Ketua Pengarah Finas, Datuk Fauzi Ayob dan jawatan kuasa Wajib Tayang yang saya hubungi sebentar tadi,” katanya.

Katanya, penarikan filem itu bukan sebab takut persaingan seperti digembar gemburkan segelintir pihak tetapi risau dengan budaya membenarkan dua filem tempatan ditayang serentak.

Pendekatan itu boleh menyebabkan kerugian kepada penerbit filem tempatan pada masa depan.

Ahmad Idham turut berharap sistem Skim Wajib Tayang (SWT) yang diwujudkan untuk membantu penerbit tempatan mendapat ruang tayangan filem tempatan pada jumlah optimum dapat diperincikan semula.

Menjadi tanggung jawab SWT merealisasikan agenda nasional membantu penerbit tempatan yang sering mendakwa ditindas pihak-pihak tertentu.

Susulan penarikan filem itu daripada pawagam, satu tarikh lain akan diumumkan sebaik sahaja tayangan filem Dukun selesai.

Ahmad Idham menyeru semua peminat filem tempatan memberi sokongan padu kepada filem Dukun sememangnya dinanti-nantikan penggemar pawagam sejak 12 tahun lalu.

Sewaktu sidang media Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), semalam, Ahmad Idham, menyatakan hasrat menarik keluar filem Qhaliq kerana bertembung dengan filem Dukun yang ditayang tarikh sama.

Berita berkaitan:

Minta Finas tarik tayangan Qhaliq

Disiarkan pada: April 4, 2018 @ 4:43pm
d