rap

Tak tipu tapi terpaksa menolak...

Oleh Michelle Gun

"SAYA tidak bodoh untuk mengumumkan sesuatu yang belum ada pengesahan lagi," kata pelakon Raja Ilya mengenai kritikan segelintir pihak menuduhnya menipu tawaran lakonan dalam filem francais Marvel di Hollywood, Amerika Syarikat.

Pelakon berusia 32 tahun itu menegaskan dia memang mendapat watak ditawarkan selepas berjaya dalam sesi uji bakat.

"Saya ke Hollywood untuk menandatangani kontrak lakonan serta menghadiri sesi uji bakat filem itu. Segala urusan seni dibantu agensi yang bertapak di sana.

"Selepas mendapat watak itu barulah saya mengumumkannya. Sudah tentu saya teruja berpeluang berlakon dalam filem terbitan francais besar," katanya dihubungi, hari ini.

Bagaimanapun, Ilya memberitahu terpaksa menolak lakonan itu selepas mendapati ada babak kurang sesuai yang bercanggah dengan nilai Islam.

"Ketika membaca skrip baru saya mendapati ada bahagian menyentuh sensitiviti Islam.

"Sudah pasti saya tidak mahu mencemar imej Malaysia dan maruah keluarga, jadi dengan berat hati saya terpaksa menolak lakonan itu," katanya.

Menurut Ilya, persiapan untuk bekerja di Amerika Syarikat bukan mudah kerana membabitkan pelbagai proses.

"Saya terpaksa menunggu setahun menyiapkan segala dokumen dan keperluan ke sana termasuk mendapatkan visa khas.

"Pun begitu, sudah ada rezeki lain menanti saya di Amerika Syarikat dan akan kembali ke sana lagi," katanya.

Pada masa sama, Ilya enggan mengambil pusing kritikan netizen selain tidak akan membalas kecaman di ruang komen akaun Instagram miliknya.

Disiarkan pada: April 4, 2018 @ 8:49pm
d