rap

Lee Suhyun rela tidak cantik

Oleh Georgie Joseph

Annyeonghaseyo! Kriteria utama untuk menjadi selebriti di Korea Selatan terutama wanita adalah mesti memiliki rupa paras menawan. Dengan pakej itu, mereka akan lebih mudah dikenali.

Bagaimanapun, anggota duo AKMU iaitu Lee Suhyun menongkah arus apabila nekad mengekalkan wajah asalnya. Malah, tidak pernah terlintas di fikirannya untuk melakukan pembedahan plastik semata-mata mahu kelihatan cantik seperti kebanyakan artis lain.

Menerusi program Talkmon, penyanyi itu mendedahkan antara sebab utama dia bersetuju bernaung di bawah YG Entertainment adalah kerana syarat berkenaan.

Suhyun menjelaskan sewaktu menyertai program K-Pop Star 2 dan dijulang sebagai juara, dia ada dengar khabar angin artis baru akan dipaksa melakukan pembedahan kosmetik.

“Saya dengar ada artis baru bangun dari tidur dan mendapati mereka sudah ada kelopak mata. Malah, ada juga khabar angin mengatakan agensi akan bawa artis baru untuk mendapatkan suntikan imunisasi tetapi kemudian dipaksa melakukan pembedahan hidung,” katanya.

Sudah pasti dia dan rakan duonya risau dengan perkhabaran itu dan meletakkan syarat tidak dipaksa melakukan pembedahan plastik jika agensi mahu mengambil mereka sebagai artis.

“Saya dan abang takut kami dipaksa mengubah wajah. Jadi, sebelum menandatangani kontrak kami bertegas mengenai perkara ini.

“Pengurusan YG Entertainment ketawa apabila kami menyatakan syarat tidak mahu melakukan pembedahan plastik. Mereka kata kami tidak perlu berbuat demikian dan tidak akan biarkan ia berlaku,” katanya.

Kata Suhyun, daripada mengubah wajah, dia lebih sanggup menurunkan berat badan dan meningkatkan kemahiran solekan.

Dia sangat berpengaruh di YouTube dan mempunyai akaun tutorial solekan yang disaksikan lebih 700,000 pengikut.

Disiarkan pada: April 5, 2018 @ 12:23pm
d