rap

Wani bukti kemampuan

Oleh Sudirman Mohd Tahir

Penyanyi Wani Kayrie yang mendapat 7A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) baru-baru ini mengakui dia suka mengulangkaji pelajaran di saat akhir.

Namun, Wani, 18, atau nama sebenarnya Syazwani Abdullah akan memastikan dia sentiasa membawa buku latihan ke mana-mana termasuk ketika menjayakan persembahan.

“Lain orang lain caranya. Ia mengikut keselesaan masing-masing. Namun, saya tak galakkan belajar di saat akhir. Kalau boleh banyakkan buat soalan setiap hari. Gunakan masa yang ada sebaik-baiknya. Jangan rasa selalu tidak ada masa.

“Pada masa sama, ada juga yang suka belajar dalam kumpulan. Saya pula, selesa untuk belajar sendiri sebab mudah faham. Saya berasakan duduk dalam kumpulan lebih banyak bercakap. Namun, ia terpulang mana yang dirasakan terbaik,” katanya.

Namun, di sebalik kejayaan cemerlang itu, Wani terpaksa berdepan dengan pandangan sinis daripada pelbagai pihak yang seolah-olah memperkecilkan kemampuannya menduduki SPM.

Tidak mahu terus mengalah, Wani yang popular dengan lagu Aku Suka Kamu nekad untuk menjadi lebih baik daripada orang lain.

“Tidak dinafikan sebelum ambil SPM banyak sangat kata-kata sinis diterima. Guru yang mengajar memang mengharapkan saya buat yang terbaik, apatah lagi saya aktif dalam kerjaya seni.

“Rakan sekolah pun berfikir saya tidak belajar sebab asyik ponteng sekolah. Namun, saya tekad akan buktikan boleh berjaya. Jadi, apabila ambil keputusan dan lihat saya dapat 7A mereka terdiam dan tidak kata apa-apa.

“Bagi saya, ini semua adalah usaha. Lupakan apa saja orang cakap dan jadikan ia pembakar semangat untuk berjaya. Alhamdulillah, saya bersyukur dengan apa diberikan,” katanya.

Pilih sambung belajar di Malaysia

Seperti kebanyakan orang lain, Wani mengambil keputusan untuk menyambung pelajaran dalam negara.

Namun, disebabkan komitmen dalam kerjaya seni, dia mengambil keputusan menangguhkan dahulu pelajaran di peringkat universiti.

“Saya juga bercita-cinta menyambung pelajaran di peringkat tertinggi. Macam sekarang, saya dapat banyak tawaran dari kolej swasta.

“Cuma, untuk tahun ini saya ingin fokus pada kerjaya dahulu. Tambahan pula, saya terpilih ke peringkat akhir pertandingan World Championships of Performing Arts (WCOPA) pada 8 April ini. Saya seorang yang fokus satu perkara dalam satu masa.

“Pada masa sama, saya juga bakal muncul dengan single terbaru tidak lama lagi. Sudah tentu ia memerlukan komitmen tinggi dari segi promosi lagu dan aktiviti lain. Disebabkan itu saya ambil keputusan tangguh dahulu keinginan untuk sambung pelajaran,” katanya.

Mengenai pertandingan WCOPA itu, Wani bakal bertanding dengan beberapa peserta lain dan sekiranya menang, Wani bakal mewakili negara ke Hollywood, Amerika Syarikat Julai ini.

“Kali ini saya masuk kategori senior. Doakan yang terbaik untuk saya agar dapat kumpul lebih banyak pingat seperti 2012.

“Ketika itu, saya bertanding dalam kategori junior. Saya dapat bawa pulang satu emas, tiga perak dan satu gangsa. Jadi, saya berharap dapat terpilih mewakili negara,” katanya.

Disiarkan pada: April 5, 2018 @ 12:38pm
d