rap

'Saya pun gelak' - Ernie Zakri

Oleh Sudirman Mohd Tahir

“Kalau video berkenaan dimuat naik daripada awal mungkin lebih adil untuk saya. Kalau hanya muat naik bahagian terkucil saja, saya dengar sendiri pun tergelak,” kata penyanyi Ernie Zakri mengenai video yang tular memaparkan dia terkucil ketika menyanyikan lagu Misteri dalam program Malaysia Hari Ini, Selasa lalu.

Video berdurasi 14 saat yang dikongsikan di Facebook semalam turut mendakwa Ernie yang tergolong dalam kelompok penyanyi generasi muda terlalu menunjuk dalam nyanyian sehingga membuat kesilapan.

Bagaimanapun, tidak mahu melatah Ernie ‘membidas’ dengan berhemah teguran Muzik Kita itu dan memohon maaf atas kesilapannya.

“Apa pun, saya mengaku kesilapan ini. Saya tidak mahu menyalahkan mana-mana pihak. Saya juga manusia biasa.

“Menyanyi waktu pagi untuk lagu ini agak mencabar. Sangat berbeza apabila saya menyanyikan lagu Jangan Marah seperti sebelumnya.

“Insya-Allah, saya masih belajar. Saya akan perbaiki kesilapan. Terima kasih atas komen anda,” katanya.

Ernie yang juga pemenang Vokal Terbaik pada Anugerah Juara Lagu ke-32 (AJL 32) menafikan cuba menunjuk kemampuan vokal dimiliki menerusi single barunya itu seperti didakwa pengendali akaun FB itu.

“Terima kasih atas pendapat pengendali Muzik Kita. I’m not glass glitter, not even a diamond.

“Saya tidak cuba untuk membuktikan apa-apa dalam lagu ini. Nyanyian semi klasik yang saya cuba tampilkan bukan sekadar di dalam lagu ini.

“Saya sudah lama menerapkan pendekatan sebegini dalam apa jua lagu yang digalas termasuklah ketika menyertai pertandingan Duo Star. Itu pun kalau pengendali FB ini tengok,” katanya.

Video yang dimuat naik pengendali akaun itu sudah ditonton lebih 4,000 pelayar dan mendapat 28 perkongsian.

Menerusi perkongsian berkenaan, pengendali FB itu antara lain menyifatkan lagu ciptaan Gouffran dan Sang Hitam itu terlalu besar sifatnya dari segi melodi, susunan lagu, vokal dan sebagainya.

“Sometimes glass glitters more than diamonds because it has more to prove.

“Masalah generasi sekarang adalah suka menunjuk semua kebolehan yang mereka ada dan mampu buat sekarang tanpa fikir kesannya lima hingga 10 tahun mendatang.

“Admin selalu percaya, pilihlah material yang tidak terlalu besar sifatnya tetapi mampu dibesarkan dalam persembahan secara langsung. Itu cara terbaik bagaimana untuk menarik perhatian pendengar. Jangan biarkan lagu lebih besar daripada kemampuan,” tulis pengendali akaun itu.

Disiarkan pada: April 6, 2018 @ 9:39am
d