rap

Baru 19 tahun, Aiman Tino dah jadi pengarah syarikat

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

PENYANYI remaja popular, Aiman Tino mengakui bukan mudah menggalas tanggungjawab sebagai pengarah urusan syarikat miliknya, Manno Resources Sdn Bhd yang ditubuhkan pada 19 Disember tahun lalu.

Sebagai permulaan, syarikat itu mengeluarkan Jus Manno dan Jus Manno Junior yang berasaskan ramuan semula jadi, pada awal Februari lalu.

Aiman, 19, berkata, pada usia semudanya, dia perlu memastikan perjalanan syarikat berjalan lancar seperti yang dirancang.

"Agak mencabar apabila bergelar pengarah urusan pada usia semuda ini. Syarikat kini mempunyai hampir 50 pekerja dan modal yang dikeluarkan milik saya sepenuhnya.

"Untuk mengeluarkan sesuatu produk perlu ada modal dan perancangan. Ia bukan satu perkara mudah kerana selepas minuman, saya ada perancangan nak keluarkan jenama pakaian, produk kecantikan dan aksesori.

"Individu yang akan mengendalikannya juga sudah dikenal pasti. Namun dalam masa sama, saya beruntung kerana mempunyai ibu bapa yang akan membantu sebagai tempat rujukan," katanya.

Aiman yang ditemui pada pelancaran produk jus minuman berkenaan berkata, Manno adalah nama panggilan yang diguna pakai oleh adiknya, Ikhwan yang ketika itu berusia tiga tahun.

"Syarikat ini ditubuhkan selepas perbincangan mendalam dengan ibu bapa saya. Apabila difikirkan, nama Manno ini dilihat amat bersesuaian.

"Saya juga tidak memandai-mandai sendiri apabila membuat sesuatu keputusan kerana akan mendapatkan pandangan ibu bapa dan kakitangan.

"Penubuhan syarikat ini bukan bertujuan untuk saya jadi kaya, tetapi matlamat utamanya untuk buat kerja-kerja kebajikan kerana saya akan sumbangkan satu ringgit daripada setiap pembelian kepada rumah orang-orang tua atau anak yatim," katanya.

Penyanyi lagu ‘Ku Rela Dibenci’ ini mengakui mempunyai asas berniaga pada usia 16 tahun apabila mengendalikan perniagaan char kway teow di Dataran Kuala Kubu Bharu, Selangor.

"Ketika di bangku persekolahan, saya tidak pernah terfikir nak jadi penyanyi. Banyak masa saya dihabiskan dengan membantu ayah menguruskan kedai makan.

"Dia tengok komitmen saya bagus dan akhirnya keluarkan modal untuk saya buat char kway teow. Untung ruginya, saya kendalikan sendiri.. tetapi dalam sehari saya berjaya dapat mencapai jualan RM500 ke atas.

"Apabila saya berumur 18 tahun dan bergelar artis, barulah saya pulangkan perniagaan ini kepada ayah kerana jadual saya sangat padat," katanya.

Aiman juga berhasrat untuk menambah ilmu dalam perniagaan dan pengendalian syarikat dengan memasuki kelas pengurusan yang dikenal pasti nanti.

Disiarkan pada: April 8, 2018 @ 9:34pm
d