rap

Konsert reunion Exist lepas Aidiladha

Oleh Ernalisa Othman

INDUSTRI hiburan tempatan pernah mengiktiraf Mamat Exist antara penyanyi disegani di zaman popularnya sekitar awal 1990-an.

Kisah kelamnya tidak pernah lekang sepanjang menyelusuri industri muzik tanah air sedikit masa dahulu.

Lagu Untukmu Ibu nyanyiannya yang ketika itu menjadikan vokalis kumpulan Exist menjulang nama Mamat hingga ke hari ini.

Yakin dengan populariti, anak kelahiran Johor Bahru itu terus menawan hati peminatnya apabila bakal mengadakan konsert reunion Kumpulan Exist yang dijangka akan diadakan pada tahun ini selepas Aidiladha di ibu kota.

Mamat berkata, rancangannya itu sudah lama dibincangkan dan mendapat persetujuan ahli dan bekas ahli kumpulan Exist yang lain.

“Reunion itu nanti kita akan kumpulkan bekas penyanyi dan ahli kumpulan Exist seperti Ezad, Ajai, Sham Slam dn saya sendiri.

“Sudah tentu saya yakin peminat menanti detik itu selepas lama kami menyepi. Memang bukan satu perkara mudah untuk buat satu konsert selepas lama kita tidak bersama.

“Banyak kekangan seperti kos dan sebagainya, tetapi Insya-Allah saya akan berusaha bersama mencari penaja untuk pastikan impian itu tercapai,” katanya.

Yakin dengan populariti serta genrenya tersendiri, Mamat terus menawan peminatnya apabila beliau bakal mengeluarkan singlenya bertajuk Norcahaya yang akan siap pada tahun ini.

Jelas beliau, selepas menyepi hampir 15 tahun dalam industri seni tanah air kewujudan album itu diharapkan mampu mengubati kerinduan peminat beliau.

“Sekarang ia masih di peringkat rakaman. Saya anggap ini adalah ‘come back’ (kemunculan semula) saya dalam seni suara selepas sekian lama.

“Kita tengok ratu rock, Ella pun begitu dan ramai lagi artis otai menyepi bertahun-tahun kembali mewarnai semula industri.

“Hasilnya cukup memuaskan kerana saya yakin saya ada peminat sendiri,” katanya yang ditemui ketika mengumumkan kemunculannya pada majlis Minum Petang Sambutan Hari Ibu pada 12 Mei nanti.

Mamat yang dijemput sebagai artis undangan akan menyampaikan beberapa lagu pada program di Tropikal In Hotel, Johor Bahru.

Pada konsert itu, 16 meja akan disediakan dengan harga RM55 hingga RM85.

Menurut Mamat, pada hari itu beliau akan menyanyikan lagu Oh ibu dengan bantuan buskers untuk menampakkan kelainan pada lagu yang pernah menjadi kegilaan pendengar sedikit masa dahulu.

Disiarkan pada: April 8, 2018 @ 11:26pm
d