rap

'Memacam ujian den poe sanun'

Oleh Georgie Joseph

PENYANYI Waris mendedahkan dia berdepan pelbagai ujian di Makkah sewaktu menunaikan umrah kali kedua baru-baru ini.

Waris atau nama penuhnya Muzammil Alias, 29, berkata dia ke sana dengan harapan mahu membuang sifat barannya selain menunaikan impian membawa seisi keluarga.

“Antara dugaan besar berlaku adalah saya hampir tidak dapat mengucup Hajarul Aswad. Ada satu insiden yang buat saya hampir hilang sabar tetapi syukur, saya dapat mengucupnya pada hari sama selepas solat isyak.

“Saya panas baran orangnya. Jadi, saya berharap menerusi kunjungan kali ini saya berharap dapat berubah dan tidak mahu marah-marah lagi,” katanya.

Waris mengakui kunjungan kali kedua itu banyak mengajarnya untuk jadi lebih sabar.

“Selepas kejadian itu saya rasa menyesal dengan perbuatan saya. Syukur, impian saya untuk mengucup Hajarul Aswad dengan lancar selepas itu,” katanya.

Dalam pada itu, dia juga gembira apabila dapat membawa seisi keluarganya menunaikan umrah bersama selepas sekian lama pasang niat.

“Kali pertama saya ke sana adalah bersama ibu dan kakak saya. Kali ini saya dapat membawa keluarga sendiri serta keluarga mentua selepas lebih lima tahun menyimpan wang,” katanya.

Waris bersama isteri dan keluarga masing-masing menunaikan umrah bersama-sama beberapa minggu lalu.

Disiarkan pada: April 9, 2018 @ 9:06pm
d