rap

'Hormatlah sikit'

Oleh Riadz Radzi

Ke mana perginya Rahim Maarof?

Selepas tampil dengan album Semangat Zaman pada 2005 bersama penyanyi rock seperti Yantzen, Nash, Mus MAY, Joey BPR dan Aris Ariwatan, Rahim, 62, seperti ‘hilang’ dari radar industri muzik tanah air.

Dalam tempoh hampir 13 tahun itu, boleh dikatakan tidak ada sebarang program hiburan atau cerita membabitkan Rahim di media arus perdana dan media sosial.

Album solo terakhir Rahim ialah Cermin pada 1996. Selepas itu tiada lagi rakaman album solo dan single baru daripadanya.

Namun, Rahim ketika ditemui RAP baru-baru ini, menafikan dia menyepi sebaliknya masih aktif membuat persembahan terutama di majlis tertutup atau makan malam.

“Saya penyanyi sepenuh masa. Dari dulu hingga sekarang, saya masih menyanyi. Saya banyak mendapat undangan menyanyi di majlis makan malam dan tertutup. Cuma undangan dari stesen TV atau radio untuk program mereka tidak ada. Agaknya sebab itu orang ingat saya hilang,” katanya.

Rahim berkata, dia juga kecewa dengan segelintir penganjur konsert dan per­sembahan yang menawarkan harga tidak munasabah walaupun dia penyanyi berpengalaman.

“Harga yang ditawarkan terlalu rendah. Saya tak tahulah, mungkin mereka tak faham. Mereka meminta saya menyanyi lima lagu, tapi bayarannya teramat rendah! Saya nak sebut pun malu.

“Mungkin populariti saya tidak seperti dulu, tapi sekurang-kurangnya hormat saya sebagai penyanyi yang berpengalaman. Harga kita boleh bincang, tiada masalah,” katanya.

Rahim berkata, dia juga tiada perancangan untuk mengeluarkan single walaupun dia sudah ada lapan lagu baru dalam simpanannya.

“Saya tak tau sama ada nak keluarkannya atau tidak. Dalam keadaan sekarang, saya rasa tak sesuai. Saya juga boleh menghasilkan satu album, tapi tak sesuai. Tak mengapa, saya anggap ia sebagai satu perniagaan yang tidak berjaya.

“Jika saya keluarkan single, saya pun tak tahu bagaimana nak keluarkan. Nak hantar ke stesen radio, saya tak pasti mereka akan mainkan atau tidak,” katanya.

Sementara itu, dalam usia melepasi 60 tahun, Rahim seperti tidak dimakan usia.

Dikenali sebagai penya­nyi kacak sejak dulu, wajah dah fizikal Rahim tidak banyak berubah.

“Kita kena sentiasa gembira dengan apa yang kita lakukan. Bersyukur dengan apa yang kita ada. Saya juga suka bersukan dan kerap berbasikal,” katanya.

Bakal tampil bersama Man Bai

Bagi peminat Rahim Maarof, penyanyi berasal dari Kelantan ini bakal muncul sebagai penyanyi undangan dalam persembahan istimewa Man Bai di Hotel Royale Chulan, Mutiara Damansara, Kuala Lumpur, Ahad ini jam 8 malam.

Dalam persembahan itu, Rahim akan membawa dua atau tiga lagu popularnya sama ada Jangan Kau Rayu, Istana Menanti, Cinta Kristal atau Hipokrasi.

Rahim berkata, dia sudah lama mengenali Man Bai dan pelawaan daripada penyanyi Gersang itu adalah sesuatu yang sukar ditolak.

“Saya hormat dia. Jadi, pelawaan itu saya tidak boleh tolak. Sebagai rakan, saya perlu sokong persembahannya,” katanya.

Menurut Rahim, mereka juga dijangka akan menyampaikan lagu secara duet, namun mahu merahsiakan lagunya.

Tiket untuk menonton persembahan anjuran MC Boyer Entertainment ini berharga RM120 dan orang ramai boleh membeli­nya dengan menghubungi Sherry Nordin di talian 019-2928260.

Selain itu, Man Bai dan Rahim juga akan tampil dengan Konsert 3V bersama Zamani Slam di beberapa lokasi Hotel Royale Chulan bermula 28 Julai ini.

Selain Hotel Royale Chulan di Mutiara Damansara, ia juga akan diadakan di hotel berkenaan di Kuala Lumpur, Cherating, Seremban dan Pulau Pinang.

Malah, penganjur juga dalam perancangan membawa konsert itu ke Royale Chulan di London.

Disiarkan pada: April 10, 2018 @ 5:34am
d