rap

Ikut undang undang dan maafkan...

Oleh Georgie Joseph

BAND Estranged sedia memaafkan seorang wanita pernah menipu mereka dan berharap kes saman mereka terhadapnya dapat diselesaikan secepat mungkin.

Menurut anggotanya, Solihuddin Hormat atau Din, 33, proses saman masih berjalan sekarang namun mengambil sedikit masa untuk diselesaikan.

“Kami dikhabarkan wanita terbabit kini dalam penjara atas kes lain. Jadi kami akan tunggu dulu sehingga dia keluar dan barulah akan teruskan dengan proses penyelesaian kes saman kami.

“Kami pun tidak mahu kes itu dipanjangkan dan harap ia selesai pada tahun ini juga. Sejujurnya, kami sedia memaafkan wanita itu dan tidak mahu ambil tindakan yang keras.

“Bagaimanapun, kami mahu ia diselesaikan ikut undang-undang yang betul. Kami harap ia akan memberi pengajaran kepada setiap pihak dan selesai dengan cara baik,” katanya.

Awal tahun lalu, Estranged memfailkan saman terhadap wanita terbabit atas tuduhan melakukan penipuan berhubung tawaran mengadakan persembahan di Konsert Apple London Music Festival di London pada 25 Disember 2016.

Estranged kemudian mendapat tahu bahawa surat jemputan beserta dengan dokumen-dokumen lain berkaitan adalah palsu.

Disebabkan penipuan itu, mereka kerugian sebanyak RM100,000 membabitkan persiapan selama dua bulan seperti latihan, bayaran kru serta cenderahati seperti jaket, sepanduk, bendera Malaysia dan kemeja-T.

Disiarkan pada: April 10, 2018 @ 8:21pm
d