rap

Dulu anti... sekarang kawan lelaki lembut

Oleh Sudirman Mohd Tahir

PELAKON Hafidz Roshdi mahu masyarakat tidak menghina dan cepat menghukum lelaki lembut kerana golongan itu juga punya hati dan perasaan.

Hafidz atau Muhammad Muhammad Hafidz Roshdi, 24, berkata sedemikian bagi mengulas kehadiran peminat di kalangan lelaki lembut yang kebanyakannya penyokong tegar dunia hiburan tempatan.

"Diakui masa mula-mula masuk industri, saya ada perasaan anti golongan ini. Namun, apabila setiap hari di kelilingi kelompok ini, kami jadi kawan. Persepsi saya juga berubah. Malah, baru saya tahu mereka macam mana.

"Selama ini orang kita dimomokkan dengan cerita negatif mengenai mereka. Sedangkan kita tidak tahu kisah sebenar. Kalau ada pun kesalahan yang dilakukan, itu urusan mereka dengan Tuhan.

"Apa yang penting, kita jaga hubungan baik sesama manusia. Mereka juga sama macam kita punya hati dan perasaan. Jangan mudah menjatuh hukum untuk orang lain kerana itu bukan hak kita," katanya kepada Harian Metro.

Hafidz yang juga pelakon drama Kelip Kelip Kota London di TV3 berkata, di kalangan rakannya ramai yang sering memperkecilkan golongan itu.

"Dalam bidang ini saya juga bekerja dan berjumpa dengan golongan ini. Saya tahu cara kerja mereka macam mana. Saya hormat mereka sebagai rakan sekerja.

"Cuma tidak dinafikan ada di kalangan rakan saya yang suka perli dan beri persepsi negatif terhadap mereka. Saya selalu pesan dan ingatkan, jangan nilai orang dari luaran," katanya.

Disiarkan pada: April 12, 2018 @ 2:59pm
d