rap

'Ujian kecil Allah buat saya'

Oleh Norhayati Nordin

PENYANYI terkenal, Datuk Nassier Wahab, 56, selamat menjalani pembedahan membuang ketumbuhan kelenjar di leher kirinya di sebuah hospital pakar di Shah Alam, pagi semalam.

Nassier dihubungi berkata beliau disahkan mengalami ketumbuhan kelenjar di leher kiri itu sejak dua bulan lalu.

"Sebelum mengalami ketumbuhan ini, saya lebih dulu membuat pembedahan gigi di atas nasihat doktor gigi peribadi.

"Ada lubang pada gigi geraham saya yang disarankan doktor supaya melakukan pembedahan kecil untuk menutup lubang itu.

"Bagaimanapun, komplikasi berlaku selepas pembedahan apabila kelenjar di leher kiri saya dijangkiti kuman hingga menyebabkan ketumbuhan," katanya.

Pemilik nama sebenar Mohd Nasir Abdul Wahab ini berkata dek kerana ketumbuhan itu juga beliau tidak boleh menyanyi dan suaranya garau apabila bercakap.

"Ketika disahkan mengalami ketumbuhan kelenjar ini, saya sedih dan kecewa kerana di sebalik sikap peka menjaga kesihatan diri tetap akhirnya sakit juga.

"Saya pada awalnya semacam tidak boleh terima kerana saya seorang yang begitu memberi penekanan kepada penjagaan kesihatan diri. Saya sangat menjaga pemakanan termasuk bersenam.

"Bagaimanapun, selepas menenangkan diri akhirnya saya dapat terima dengan lapang dada dugaan sakit dialami ini adalah ujian kecil daripada Allah SWT buat saya," katanya.

Menurut penyanyi lagu Memori Cinta Luka ini, beliau juga yakin ada hikmah yang baik buatnya daripada Allah SWT yang menanti.

"Sebagai manusia biasa, saya perlu bersangka baik kepada Allah SWT. Semua yang berlaku ini pasti ada hikmahnya.

"Malah, sekurang-kurangnya saya harus bersyukur kerana masalah ketumbuhan kelenjar di leher itu dapat dikesan awal oleh doktor dan pembedahan pun selamat dilakukan," katanya.

Nassier dimasukkan ke hospital pakar berkenaan pada petang Rabu lalu dan pembedahan membuang ketumbuhan kelenjar di leher kirinya dilakukan pada jam 8.30 pagi semalam.

#kw Nassier jalani pembedahan buang ketumbuhan kelenjar

Disiarkan pada: April 13, 2018 @ 3:20pm
d