rap

Dayang tak kesal potong pendek

Oleh Syafil Syazwan Jefri

PENYANYI, Dayang Nurfaizah, 37, tidak menyesal dengan tindakannya memotong rambut pendek hingga paras bahu sejak sebulan lalu.

Dayang yang popular menerusi lagu Seandainya Masih Ada Cinta itu yang dikenali dengan rambut panjang hitam pekat ingin menampilkan sesuatu berbeza pada imejnya.

"Kali terakhir saya menggayakan rambut pendek, rasanya lebih 10 tahun lalu. Bulan lalu, saya buat keputusan memotong rambut lebih pendek.

"Pada awalnya, potongan itu di paras bahu. Beberapa hari kemudian, saya potong sekali lagi dan lebih pendek," katanya kepada Harian Metro.

Tambah Dayang, selain menampilkan sesuatu yang berbeza, potongan rambut pendek juga lebih selesa dan mudah diurus.

"Bila rambut dah pendek sikit, rasanya lebih selesa. Selain itu, saya juga mudah menguruskannya contohnya, untuk mengeringkan rambut pun dah tak perlukan masa yang terlalu lama.

"Saya tak risau sangat sebab rambut saya cepat tumbuh dan tak lama lagi, ia akan panjang semula" katanya.

Ditanya sama ada dia pernah merancang untuk menggayakan rambut pendek ala 'boy cut' seperti yang pernah digayakannya di awal kemunculan, Dayang mengakui gaya itu tidak sesuai.

"Saya dah pernah menggayakan gaya rambut ala 'boy cut' satu ketika dulu. Rasanya, ia tidak sesuai dengan imej dan bentuk wajah saya.

"Lagi pula, rambut saya jenis kembang kalau dipotong pendek. Jadi, rimas juga kalau selalu perlu mengenakan gel rambut. Jadi, saya tak akan memotong rambut dengan gaya itu lagi," katanya.

Dayang pertama kali membuat kemunculan dengan gaya rambut barunya itu ketika tampil mempersembahkan single duet terbarunya, Haram bersama Hael Husaini di pentas Anugerah Meletop Era 2018 dan mencuri tumpuan ramai.

Menjadi antara artis yang paling banyak mencuri tumpuan dengan gaya rambut, tentunya ramai mengingati gaya rambut Dayang sekitar tahun 2000-an yang dikatakan mirip dengan gaya rambut penyanyi antarabangsa, Beyoncè Knowles.

Disiarkan pada: April 13, 2018 @ 4:52pm
d