rap

Satu macam dia punya penangan...

Oleh Sudirman Mohd Tahir

PENYANYI Zizi Kirana mengakui lagu terbarunya yang dianggap merepek, Nak Ke Tak Nak membawa penangan luar biasa dalam kerjaya nyanyiannya.

Zizi atau Nur Fazelah Mad Tahil, 33, berkata selepas puas dia menyanyikan lagu yang bagus sebelum ini masih kurang diterima berbanding sekarang.

"Dulu saya rasa semua lagu dinyanyikan sedap malah masuk pertandingan tapi tetap tidak membawa impak apa-apa.

"Keadaan berubah apabila saya muncul dengan single baru ini yang pada awalnya saya sendiri tergelak mendengar barisan lirik yang lucu.

"Malah ketika dilancarkan ada juga orang mendakwa lagu ini merepek. Namun, impak diterima sangat luar biasa. Sehingga mana-mana saya pergi orang panggil 'nak ke tak nak, lepak mamak," katanya kepada Harian Metro.

Lagu ciptaan Aziquebeats dan lrik Waris itu secara sinikal menyentuh kisah masyarakat yang gemar melepak di restoran mamak pada setiap masa.

Lirik video rasmi lagu yang dimuat naik pada 23 Mac itu mencecah tontonan 500,000.

Zizi yang juga bekas anggota kumpulan Fabulous Cat berkata, komposer, DJ Fuzz turut memberi maklum balas lagu itu sangat sesuai dengan personaliti dirinya.

"Saya langsung tak jangka lagu macam ini orang nak dengar. Lagi pun saya tak menyanyi tapi rap saja. Jadi, baru saya tahu cita rasa orang kita macam mana," katanya.

Disiarkan pada: April 13, 2018 @ 8:07pm
d