rap

Selebriti terjun dunia politik

Oleh Susunan Michelle Gun

Bukan mustahil bagi selebriti untuk memegang jawatan penting dalam kerajaan menerusi pembabitan dalam politik.

Keupayaan beberapa selebriti luar negara dalam meyakinkan orang ramai untuk memilih mereka sebagai wakil rakyat terbukti apabila berjaya menang dalam pilihan raya.

Beberapa selebriti Hollywood sudah menyatakan hasrat bertanding bagi jawatan Presiden Amerika Syarikat pada pilihan raya 2020.

Antaranya Kanye West, Operah Winfrey, Chris Rock, Katy Perry dan Dwayne Johnson.

Berikut antara 10 selebriti luar negara bergelar ahli politik dan pernah memegang jawatan dalam kerajaan.

Ronald Reagan

Sebelum membabitkan diri dalam dunia politik, pelakon ini membintangi 50 filem selain mengendalikan beberapa program televisyen.

Dia kemudian meninggalkan kerjaya seninya untuk memegang jawatan sebagai Gabenor California selepas menang pilihan raya pada 1966.

Selepas dua kali gagal bertanding di bawah Parti Republikan, akhirnya Reagan dilantik Presiden Amerika Syarikat ke-40 pada 1981.

Clint Eastwood

Pengarah dan pelakon ini bertanding untuk kerusi Datuk Bandar Carmel, California hanya kerana perancangannya untuk menaik taraf bangunan di sebelah restoran miliknya tidak diluluskan pihak berkuasa tempatan.

Populariti Eastwood membantu dia meraih 2,166 undian manakala pesaingnya, seorang pustakawan hanya memperoleh 799 undian.

Sebaik memulakan tugasannya, Eastwood segera memecat ahli lembaga pihak berkuasa tempatan yang enggan meluluskan permohonannya.

Bagaimanapun, dia hanya memegang jawatan datuk bandar selama setahun.

Arnold Schwarzenegger

Bintang filem Terminator ini mengumumkan hasratnya untuk bertanding jawatan Gabenor California ketika menghadiri program bual bicara The Tonight Show With Jay Leno pada 2003.

Pelakon berusia 70 tahun ini berjaya menewaskan Gabenor Gray Davis dan memegang jawatan itu selama dua penggal.

Sepanjang perkhidmatannya, Schwarzenegger ada membuat kemunculan istimewa dalam filem The Rundown, Around the World in 80 Days, The Kid & I dan The Expendables.

Dia kembali aktif berlakon selepas menamatkan perkhidmatannya pada Januari 2011.

Al Franken

Walaupun kurang pengalaman dalam dunia politik, bekas pelakon Saturday Night Live ini berkhidmat sebagai Senator Amerika Syarikat sejak 2009.

Pencalonan pertama Franken menyaksikan beberapa kali pengiraan semula undi.

Pada 2014, Franken berjaya mempertahankan jawatannya selepas memperoleh sebanyak 53.9 peratus undian.

Jesse Ventura

Gabenor ke-38 Minnesota, Amerika Syarikat ini mencipta populariti sebagai ahli gusti profesional menerusi nama The Body.

Dia kemudian menjadi Datuk Bandar Brooklyn Park, Minnesota pada 1991 selama lima tahun.

Empat tahun kemudian, pelakon berusia 66 tahun ini dipilih sebagai Gabenor Minnesota.

Jerry Springer

Penyampai televisyen ini memulakan kariernya sebagai wartawan politik.

Dia kemudian mencuba nasib dengan bertanding untuk jawatan kongress, namun gagal merampas jawatan itu daripada Donald D Clancy.

Bagaimanapun, nasib menyebelahinya apabila Springer berjaya menawan hati penduduk Cincinnati dan menjadi datuk bandar pada 1977.

Shirley Temple

Menceburi bidang lakonan sejak usia tiga tahun, Temple berhenti daripada karier seninya untuk berkhidmat dengan negara.

Pada usia 22 tahun, dia bertanding jawatan Kongres selepas menyertai Parti California Republican, namun gagal.

Temple tidak berputus asa dalam politik dan kemudian menjadi Duta Amerika Syarika di Ghana danCzechoslovakia.

Ilona Staller

Penyanyi dan pelakon filem dewasa yang berasal dari Hungary ini mula membabitkan diri dalam politik Itali dengan memperjuangkan hak kemanusiaan dan membantah pembinaan nuklear.

Sedekad kemudian, Staller menjadi ahli Parlimen Itali selama lima tahun sehingga 1992.

George Murphy

Seperti Ronald Reagan, Murphy dilantik sebagai Presiden Screen Actors’ Guild pada 1940-an dan turut memenangi trofi Anugerah Academy bagi pencapaiannya dalam bidang seni. Pada 1964, Murphy menang kerusi dalam Senat Amerika Syarikat dan berhasrat memperkenalkan pendidikan menerusi visual menggunakan filem untuk matematik, sains dan sukan.

Bagaimanapun, projek itu tidak pernah direalisasikan selepas Murphy gagal mempertahankan kerusinya pada 1970.

Jaya Bachchan

Pelakon wanita versatil Bollywood ini menjadi figura politik terkenal India selepas menjadi Ahli Parlimen pada 2004.

Ahli Parlimen Rajya Sabha berusia 70 tahun ini sudah berkhidmat selama empat penggal.

Isteri pelakon Amitabh Bachchan ini pernah membintangi beberapa filem terkenal antaranya Fiza, Kabhi Khushi Kabhie Gham dan Kal Ho Naa Ho.

Disiarkan pada: April 14, 2018 @ 2:32am
d