rap

Mesej Instagram sakitkan kepala Ariff

Oleh Syafil Syazwan Jefri

SEMAKIN dikenali dan mencipta nama dalam industri, penyanyi, Ariff Bahran, 20, kini berdepan situasi di mana menerima pelbagai mesej di Instagram.

Lebih parah, ada di antara mesej-mesej dihantar peminatnya adalah gambar-gambar tidak senonoh.

“Mungkin inilah salah satu cabaran yang saya kena hadapi sebagai artis. Dalam sehari, ada lebih daripada 90 mesej yang dihantar menerusi Direct Message (DM) di Instagram saya.

“Bukan saja mesej-mesej sokongan dan penghargaan peminat, bahkan ada juga yang menghantar mesej bergambar dengan gambar tidak senonoh,” katanya kepada Harian Metro.

Ariff yang popular dengan lagu Kata Akhirmu itu bagaimanapun tidak melayani mesej berbaur lucah sebegitu.

“Saya tidaklah melayan kalau ada mesej-mesej yang tidak senonoh sebegitu. Walaupun masih muda, saya tahu batas-batas yang perlu saya ikut,” katanya.

Dalam pada kesal dengan mesej-mesej negatif, Ariff juga mengakui teruja apabila peminatnya seimbang, bukan sahaja di kalangan peminat wanita, tetapi juga lelaki.

“Walaupun yang mesej, ramai wanita, tapi saya juga mendapat sokongan dan penghargaan daripada peminat lelaki.

“Mereka menghormati kerja dan karya saya. Jadi, saya pun hargai sokongan yang mereka berikan,” katanya.

Terbaru, single pertamanya itu kini tercalon dalam carta Muzik Muzik dan Ariff juga terbabit menjayakan Showcase Muzik Muzik 33 yang berlangsung di IOI City Mall, Putrajaya bermula hari ini.

Disiarkan pada: April 14, 2018 @ 10:28pm
d