rap

17 tahun hidap bipolar

Oleh Michelle Gun

Buat kali pertama, bintang pop Mariah Carey membuka mulut mengenai penyakit bipolar yang dihidapinya selama 17 tahun.

Pada 2001, ibu kepada dua anak ini dikesan menghidap bipolar selepas dia mendapatkan rawatan di hospital akibat gangguan mental. Bagaimanapun, penyanyi berusia lewat 40-an ini menjelaskan, hanya mendapatkan rawatan baru-baru ini.

“Selama ini saya sukar menerima hakikat dan mengasingkan diri daripada orang sekeliling kerana khuatir ada individu akan mendedahkan perkara ini kepada umum.

“Saya sudah tidak sanggup memikul bebanan itu,” jelasnya.

Mariah berkata, dia kembali menulis dan menghasilkan lagu baru selepas mendapatkan rawatan.

“Saya bergaul dengan orang yang berfikiran positif. Sekarang, saya mengambil ubat tetapi rawatan itu tidak membuat saya rasa terlampau penat atau lesu,” katanya.

Penyanyi ini juga berdepan masalah tidur yang kronik untuk jangka panjang.

“Disebabkan gangguan itu, saya mudah menjadi marah dan sentiasa bimbang akan mengecewakan orang.

“Apabila serangan kemurungan datang, saya akan terasa sangat sunyi, sedih dan rasa bersalah kerana tidak melakukan perkara sepatutnya untuk karier sendiri,” katanya.

Mariah pernah mendirikan rumah tangga dengan Tommy Mottola pada 1993, kemudiannya berkahwin kali kedua dengan pelakon Nick Cannon pada 2008.

Hasil perkahwinan dengan Cannon, pasangan itu dikurniakan anak kembar, Monroe dan Moroccan Scott.

Pasangan itu kemudian sah bercerai pada 2016.

Mariah pernah bertunang dengan hartawan Australia, James Packer pada Januari 2016 tetapi mereka berpisah 10 bulan kemudian.

Disiarkan pada: April 15, 2018 @ 1:25pm
d