rap

'Majlis lebih 'intimate' tahun ini' [METROTV]

Oleh Sudirman Mohd Tahir

PASANGAN artis popular, Awal Ashaari dan Scha Alyahya tidak merancang untuk mengadakan sambutan hari jadi keempat anak mereka, Lara Alana secara besar-besaran, Julai ini.

Scha, 35, berkata, tahun ini dia dan Awal mahu sambutan itu secara sederhana membabitkan keluarga terdekat sahaja.

“Bagi saya Lara bukan selebriti yang perlu dihebohkan atau diuar-uarkan. Kalau ada pun majlis, memadai jika ia dijalankan secara kecil-kecilan di kalangan keluarga saja.

“Lagi pula, tiga tahun sebelum ini kami sudah buat meriah dan jemput banyak pihak termasuklah klien. Jadi, untuk tahun ini kami nak buat majlis yang lebih ‘intimate’,” katanya kepada Harian Metro.

Scha yang juga pelakon Isteri VS Tunang, berkata, dia belum terfikir mengenai tema majlis ulang tahun anaknya itu nanti.

Dalam masa sama, Awal berkata, tema majlis lebih kepada apa yang disukai anak perempuannya.

“Sebelum ini tema dipilih berdasarkan kesukaan Lara. Dia pernah suka kartun PJ Mask jadi kami buat. Tahun lalu pula, dia sukakan Puteri Elsa. Kami tunaikan impiannya.

“Jadi kalau tahun ini dia suka kartun lain atau perkara lain, kami cuba laksanakan,” katanya.

Berkongsi mengenai perkembangan anaknya juga, Scha yang ditemui pada Festival Gegaria di Amanjaya Mall, di sini berkata, Lara menunjukkan minat terhadap bidang kecantikan.

Apa tidaknya, Lara kerap dilihat bersolek sendiri tanpa pengetahuan Scha seperti dimuat naik di laman Instagram miliknya.

“Sejujurnya, saya tak pernah ajar dan galakkan dia bersolek. Tidak pernah terdetik pun lagi. Mungkin sebab dia selalu tengok saya bersolek dan jurusolek datang ke rumah, membuatkan dia belajar sendiri.

“Apatah lagi kanak-kanak memang cepat tangkap apa yang mereka nampak dan dengar.

“Kalau saya tidak ada, dia akan buka sendiri laci dan ambil apa saja alat solek yang ada. Dia juga tahu kegunaan sesuatu produk seperti pembayang mata dan gincu. Cuma pemilihan warna kelakar dan tidak sesuai,” katanya.

Disiarkan pada: April 15, 2018 @ 6:07pm
d