rap

'Terkejut dibuatnya...'

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

Bukan cara sambutan atau lokasi yang menjadi ukuran, sebaliknya ingatan peminat dan segelintir rakan artis membuat kejutan ulang tahun, menjadikan artis muda, Along Zaimi cukup terharu.

Bekas protege Tomok dalam program Mentor Milenia 2017 ini terkejut apabila panggilan yang dibuat teman serumah untuk menemaninya makan malam di pusat karaoke bertukar menjadi majlis kejutan sambutan ulang tahun kelahirannya yang ke-22 pada 11 April lalu.

“Kononnya rakan ini ada makan malam tahunan dengan rakan sekerjanya. Tapi sebaik sampai, saya terkejut apabila mendapati ramai anggota kelab peminat Along Zaimi Rangers sudah bersedia buat kejutan untuk saya.

“Terharu dibuatnya kerana dalam usia yang masih setahun jagung dalam seni, saya sudah diraikan sebegini rupa,” katanya.

Lebih istimewa, selain peminat, majlis kejutan ini turut dimeriahkan dengan kehadiran penyanyi Farah Hezel, Ayie Floor 88 dan Khareez Kasbulah.

“Memang terkejut dibuatnya kerana tak sangka mereka pun ada. Mereka pun sudah berpakat dengan pentadbir kelab peminat untuk buat kejutan untuk saya.

“Ini memori indah kerana kali pertama kelab peminat saya mengadakan sesi ramah mesra selepas setahun program Mentor Milenia 2017 berlalu,” katanya.

Bercerita lanjut, Along mula mengenali Ayie pada usia 13 tahun ketika sama-sama terbabit dengan Kem Muzik Peringkat Kebangsaan Sekolah-Sekolah Malaysia.

“Saya mewakili Kedah, manakala, Ayie mewakili Sabah. Fara pula, saya kenal ketika sama-sama mengadakan persembahan Fiesta Sehati @ RTM anjuran Perlis FM,” katanya.

Mengulas perkembangan kariernya, Along atau nama sebenarnya, Mohamad Rozaimi Rosli akan merakamkan single kedua di bawah kendalian Tomok tidak lama lagi.

“Hujung Mac lalu, Tomok ada menghubungi saya untuk merakamkan single kedua selepas lagu Menolak Hatimu. Rakaman akan dibuat di studio Zimi, gitaris kumpulan Akim & The Majistret di Kajang.

“Lagu ini ciptaan Hang Nadim, Laq, Gjie, manakala lirik karya Tomok dan Black. Cuma judulnya belum ada,” katanya.

Dalam pada itu, Along melahirkan perasaan terujanya kerana akan memperoleh pengalaman pertama sebagai pengundi dalam pilihan raya umum ke-14 pada 9 Mei ini.

“Saya tidak sabar untuk balik mengundi di Kedah dan ia pasti menjadi pengalaman yang menyeronokkan.

“Insya-Allah, pada Ramadan ini, saya dan kumpulan ‘busking’ Mr. R Buskers yang turut dianggotai adik saya akan buat persembahan di Hotel Grand Alora, Alor Setar, Kedah.

“Selain itu, seperti tahun sebelumnya, saya akan membantu keluarga menjual roti john di Bazar Ramadan di Kuala Kedah,” katanya.

Disiarkan pada: April 17, 2018 @ 12:59am
d