rap

Tokoh Rock Lagenda buat Joe

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

SEPANJANG 32 tahun pembabitan dalam bidang seni tanahair, pemain gitar terkenal, Joe atau nama sebenarnya Abdul Zamin Abdul Kadir tidak pernah terlintas akan menerima anugerah.

Justeru, Joe amat terharu apabila terpilih memenangi anugerah Tokoh Rock Lagenda sempena Malam Anugerah Kecemerlangan Kurshiah 2018 Rock East Meets West yang berlangsung di sebuah hotel di Kuala Lumpur, Ahad lalu.

"Alhamdulillah...saya rasa bertuah apabila dipilih oleh mereka. Bukan saya sahaja, perasaan bangga turut dikongsi oleh isteri dan anak-anak saya.

"Diikutkan saya sendiri tidak pasti atas kriteria apa saya terpilih tetapi mungkin kerana mereka melihat sumbangan saya untuk rock 'scene'," katanya kepada Harian Metro.

Menurut Joe, dia difahamkan penilaian terhadapnya dibuat atas beberapa kapasiti iaitu sebagai penerbit album, komposer dan bekas pemain gitar kumpulan Wings secara rasmi pada 1 April 1988 sehingga Februari 2018.

Dia juga adalah penerbit 12 album studio Wings dan tujuh live album Wings.

Tidak terkecuali Joe juga pernah menerbitkan album Jinbara, Kristal, Ito Blues Gang, Tropika, NRG, Doubleline, Def Gab C, single Datuk Hattan dan Single Datuk Awie.

Sepanjang tempoh pembabitannya juga, Joe sudah menerbitkan lebih 300 lagu menerusi 29 album studio.

Dia juga aktif dalam lakonan membintangi empat filem dan pernah menjadi hero filem Putera.

"Mulanya saya rasa terkejut juga. Apatah lagi apabila menerima anugerah daripada UM iaitu universiti yang pertama dan tertua negara.

"Namun, dalam masa sama, saya rasa gembira kerana orang menghargai sumbangan sepanjang terbabit dalam bidang seni.

"Lagipun kalau difikirkan dulu orang pernah diskriminasi muzik rock dengan melemparkan pelbagai tanggapan liar tetapi sekarang mereka lebih terbuka dan menghargai sumbangan muzik dalam perkembangan bidang seni tanah air," katanya.

Pengetua Kolej Kediaman Tuanku Kurshiah, Dr Mohd Effindi Samsuddin berkata, penghargaan diberikan setiap tahun dan kali ini Anugerah Kecemerlangan Kurshiah 55 bertemakan Rock is an Attitude: East Meets West.

"Kami melihat kerelevenan membolehkan generasi Y dari Kolej kediaman Tuanku Kurshiah mengiktiraf dua tokoh terdiri daripada Ikon Rock Senior (Joe) dan Ikon Rock Muda (Hazama) yang dikenali dan digemari.

"Pengiktirafan adalah dari sudut apresiasi warga Kurshiah terhadap usaha dan hasil kreatif mereka dan pencapaian mereka di industri muzik tanah air yang harus dihargai," katanya.

Disiarkan pada: April 17, 2018 @ 2:55pm
d