rap

'Dah rezeki saya'

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

Bakat baru, Alyssa Rosli, 22, pernah hadir ke uji bakat Mentor Legend di bawah kendalian ratu rock Ella, namun hanya berjaya menduduki 10 calon terbaik.

Penantian yang agak lama untuk menunggu giliran diuji bakat, tetapi gagal mendapat tempat mengecewakannya dan nekad tidak mahu mencuba nasib menyertai mana-mana pertandingan nyanyian.

Bagaimanapun, sudah rezeki apabila nyanyiannya menerusi medium YouTube berjaya menarik perhatian komposer LY dan isterinya Baiduri.

Mereka menilai persembahannya dan akhirnya bersetuju mengambilnya sebagai artis Kelarai Sakti Sdn Bhd.

“Syukur kerana ini rezeki saya. Siapa yang tak teruja terpilih menjadi artis di bawah kendalian nama terkenal LY dan Baiduri.

“Abang LY sendiri yang pilih saya menjadi artis mereka. Katanya sekarang zaman untuk penyanyi generasi baru dan peluang harus diberikan kepada orang seperti saya,” katanya.

Menariknya, bagi mencetuskan kesegaran, Alyssa diberi kepercayaan menyanyikan lagu berjudul Tanpa Kamu ciptaan Farra Ahmad, yang juga artis Kelarai Sakti Sdn Bhd.

“Memang Abang LY dan Kak Baiduri sangat terbuka kerana sudi bagi peluang pada orang baru seperti kami.

“Tidak dinafikan awalnya agak susah untuk saya merakamkan lagu ini sehingga terpaksa ambil masa lima jam kerana tiada pengalaman di studio.

“Perasaan bercampur baur teruja, takut dan gementar kerana ini sesuatu yang baru. Syukurlah apabila lagu ini siap dan dikeluarkan pada 15 Februari lalu, sambutan yang ditunjukkan pendengar sangat positif,” katanya.

Alyssa yang baru tamat pengajian dalam diploma muzik dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam mengakui, dalam gembira ada sedihnya kerana tidak dapat berkongsi kegembiraan dengan ibunya yang sudah meninggal dunia dua tahun lalu.

“Emak sering memberikan semangat buat saya untuk maju dalam apa sahaja bidang termasuk nyanyian. Ketika uji bakat Mentor Legend pun, emak sering bagi sokongan.

“Keinginan emak untuk saya berjaya dalam pelajaran dan bidang nyanyian kini sudah tercapai tapi sayangnya dia tak dapat melihatnya,” kata anak ketiga daripada empat beradik ini.

Alyssa yang berkebolehan bermain ukelele, keyboard, gitar dan membaca nota muzik, mahu menumpukan perhatian terhadap single pertamanya terlebih dahulu sebelum tampil dengan lagu seterusnya.

Disiarkan pada: April 19, 2018 @ 2:11am
d