rap

Yayasan KRU cari dana biayai pelajar

Oleh Najiy Jefri

ANGGOTA kumpulan KRU, Datuk Norman Abdul Halim menubuhkan Yayasan KRU bagi membantu membiayai pelajar ingin mengikuti program di KRU Academy.

Norman berkata, dia terpanggil menubuhkan yayasan itu kerana tidak banyak organisasi yang menawarkan biasiswa kemahiran.

“Cabaran utama kami sepanjang enam tahun menubuhkan KRU Academy ini adalah masalah kewangan untuk pelajar membayar yuran pengajian.

“Jadi kami cuba membantu dengan menubuhkan Yayasan KRU sebagai salah satu cara mencari pihak yang ingin menaja pelajar-pelajar ini.

“Kebanyakan yayasan di luar memberi tumpuan kepada kursus berteraskan akademik seperti program ijazah atau diploma. Oleh kerana itu, kami susah mencari yayasan yang ingin membiayai kursus dalam bidang kemahiran,”katanya.

Menurut Norman, sebagai permulaan untuk mengumpulkan dana dalam yayasan terbabit dia akan menyalurkan sebahagian jualan tiket Konsert Gergasi KRU25 yang akan berlangsung di Istana Budaya, Kuala Lumpur selama tiga hari mulai 4 hingga 6 Mei ini.

“Tahun ini kami berhasrat mengumpul dana sebanyak RM2 juta bagi membantu membiayai pelajar yang mengikuti progam kami tahun depan .

“ Buat permulaan, kami berjaya mendapat pengecualian membayar cukai hiburan bagi konsert itu apabila menyalurkan duit terbabit kepada Yayasan KRU.

“Ia mendapat sokongan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan bekas Menteri Kewangan 2, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

“Malah kami juga merancang untuk mengadakan beberapa program lain bagi mengumpul dana menjelang akhir tahun ini,”katanya.

KRU Academy yang kini berpangkalan di Technology Park Malaysia, Bukit Jalil menawarkan tiga program kemahiran iaitu Animasi 2D, Animasi 3D dan Kesan Khas Visual.

Disiarkan pada: April 19, 2018 @ 5:40pm
d